AMK PP: Lambang gagalnya anak muda Islam PH

MENELITI kenyataan Media Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, jelas terpancar keghairahannya untuk dijulang sebagai ‘Hero Malaya’ apabila menyerang PAS Pulau Pinang dengan alasan kononnya PAS menjadi talian hayat kepada Umno-BN .

Advertisement

Pelbagai soalan perlu dirungkai oleh Angkatan Muda Keadilan ini, antaranya dimanakah Suara Angkatan Muda PKR ini saat agama mereka sendiri dihenyak lumat oleh DAP?

Di mana angkatan ini bila mana isu fatwa disalahguna oleh YB Malik Kassim (PKR) selaku Exco Hal Ehwal Agama Islam dan DAP yang menyebabkan proses fatwa terganggu?

Adakah mengambil pendekatan berdiam diri itu kerana pemimpin itu dari PKR atau tidak mahu mengecawakan rakan pakatan yakni DAP sehingga merelakan fatwa yang melibatkan umat Islam dilanyak begitu sahaja.

Di mana angkatan ini saat tanah-tanah warisan orang Melayu Islam digadai hampir pupus ditelan dek kerakusan Pembangunan?

Apa tindakan Kerajaan Negeri? Kenapa Angkatan ini tidak kehadapan dalam isu ini dan berdiam seribu bahasa.

Di mana Angkatan ini saat Rakyat DUN Penanti yang mana dibawah jajah takluk Parti PKR ditahan bantuan kepada mereka? Mulut angkatan ini ibarat dijahit rapi melihat dana yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat disekat.

Di mana angkatan ini saat Pimpinan Muda PKR berhadapan dengan tuduhan dan dakwaan salahlaku dan penyelewengan? Di mana angkatan ini ketika Pimpinan Utama PKR didapati bersalah dalam Dakwaan Penyelewengan terhadap TSKI ? Di mana angkatan ini yang melaungkan slogan anti rasuah dan kleptokrasi?

Wahai Angkatan Muda Keadilan! Fokus terhadap agenda pemerkasaan Islam adalah lebih utama. Jadilah Hero yang sebenar mempertahankan KeADILan yang tulen Berteraskan Islam bukannya berplastikkan Slogan Memperjuangkan Keadilan, Menentang Kezaliman. Jangan jadi kera duku, bertempit merata tunjuk hebat sedangkan sarang sendiri penuh kerengga liar .

MUHAMAD HAFIZ ILYAS
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan – HARAKAHDAILY 4/7/2017