Awie ketuai jelajah ke Pondok Tahfiz

KEHADIRAN artis terkenal Datuk Awie daripada Kumpulan Wings di Kota Bharu bukan sekadar membuat persembahan nyanyian, sebaliknya menyertai jelajah ke Pondok Tahfiz.

Advertisement

Awie akan mengetuai program itu pada 8 Julai ini bermula jam 9 pagi sempena Kelantan International Bike Week 2017 yang berlangsung selama dua hari bermula 7 Julai.

Artis tersohor itu juga akan solat Isyak berjemaah dan makan malam bersama pemimpin kerajaan negeri, di samping mengadakan persembahan nyanyian dan kebudayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmod berkata, jelajah ke pondok akan bermula 9 pagi Sabtu ini akan diketuai Awie menggunakan motosikal berkuasa besar.

“Awie juga akan membuat persembahan bersama kumpulan nasyid dan dikir barat pada malam 8 Julai di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V,” katanya pada sidang media di Kota Bharu hari ini.

Kelantan International Bike Week dianjur Urusetia Pembangunan Belia dan Sukan, Darulnaim Bikers dan Wings Motor Gang Society. Ia bakal menggamit hampir 10,000 penonton.

Abdul Fattah berkata, seramai 3,000 peserta termasuk yang datang dari luar Kelantan bakal menyertai program berkenaan berbanding 1,500 orang tahun lepas.

Perasmian program itu dijangka disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob pada petang 7 Julai di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV.

Pelbagai acara menarik diadakan antaranya ekzos bingit superbike, stunt show dan pertandingan moto kapchai pelbagai kategori.

Sementara itu, Pengerusi Darulnaim Biker, Ausri Hussin berkata, orang ramai berpeluang menonton persembahan Awie di stadium bermula 9 malam.

Katanya, tiket sebanyak RM10 dikenakan kepada orang ramai untuk tabung persatuan. Tiket boleh dibeli pada malam tersebut. – HARAKAHDAILY 5/7/2017