Dr Zakir Naik diundang ke Ijtimak Antarabangsa

IJTIMAK Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia kali ke-4 turut mengundang tokoh perbandingan agama tersohor dunia, Dr Zakir Naik.

Advertisement

Selain itu bekas perdana menteri Palestin, Ismail Haniyeh, penasihat agama kerajaan Brunei dan pemimpin gerakan Islam Indonesia.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata sehingga semalam seramai 24 tokoh agama dan pemimpin gerakan Islam negara luar menyatakan persetujuan menghadiri ijtimak tersebut.

Antaranya dari Afghanistan, Palestin, Nepal, Thailand, Indonesia, Brunei, Tunisia dan Turki.

“Manakala badan bukan kerajaan (NGO) dari luar negara pula sebanyak 50 termasuk dari Jepun, Hong Kong dan Indonesia. Sebanyak 35 lagi NGO tempatan dari seluruh negara,” katanya di Kota Bharu.

Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia akan diadakan di Kota Bharu pada 20 hingga 22 Julai ini.

Program itu yang dikenali Ijtimak Kelantan 2017 dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Kesatuan Ulama Sedunia. Temanya Sejahtera Bersama Islam.

Ijtimak tersebut akan diadakan di Dataran Stadium, Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Dewan Teratai Kota Darulnaim dan Kelantan Trade Centre (KTC).

Persidangan dakwah antarabangsa akan diadakan di KTC, manakala nadwah ulama pula di Dewan Teratai.

Program ijtimak bermula jam 3 petang 20 Julai di Dataran Stadium. Kuliah Maghrib pimpinan gerakan Islam pula diadakan di Dewan Jubli Perak.

Pada jam 9 malam pula berlangsung praperasmian ijtimak oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob di Dataran Stadium.

Pada 21 Julai perasmian Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Dataran Stadium akan disempurnakan Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ketua Penyelaras Jawatankuasa Pelaksanaan Ijtimak Kelantan 2017, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ijtimak itu bukan sekadar menghimpun pendokong Islam di negara ini, sebaliknya turut mengundang ulama negara luar.

Katanya, ijtimak terbabit bakal menghimpun kira-kira 100,000 pendokong Islam. – HARAKAHDAILY 6/7/2017

ijtimak meeting 2

Ijtimak antarabangsa promosi