Martabatkan Bahasa Melayu di negara ini

KEPUTUSAN Kabinet semalam yang memutuskan bahawa pegawai perubatan latihan siswazah bersama Kementerian Kesihatan mesti lulus dengan kepujian Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melegakan semua pihak.

Advertisement

Ia sekali gus menolak pengumuman awal melonggarkan syarat lulus dengan kepujian Bahasa Melayu peringkat SPM oleh Menteri Kesihatan Datuk Dr S. Subramaniam beberapa hari lalu. Keputusan itu juga merungkai segala kemelut yang melingkari dalam negara ini sehingga mengundang perbahasan serta kemarahan beberapa pihak.

Kita semua merasa hairan bagaimana boleh timbul idea syarat kelonggaran bahasa Melayu dalam SPM sedangkan selama ini syarat ini telah dilaksanakan, tiada masalah yang timbul terhadap rakyat Malaysia. Mengapa sekarang pula ia menjadi polemik seakan-akan ada pihak yang tidak mahu mengambil berat subjek Bahasa Melayu atau mahu meremehkan bahasa ibunda ini.

Seharusnya, isu Bahasa Melayu tidak perlu dijadikan alat politik sesiapa juga. Pihak tertentu seperti mahu bermain api dengan mencetus isu yang membangkitkan sensitiviti rakyat. Meskipun Bahasa Melayu yang dipertikaikan hanya diperingkat SPM, tetapi jika dilonggarkan untuk lulus menjadikan segelintir rakyat tidak menganggap Bahasa Melayu sebagai penting.

Akibatnya, bahasa ini semakin dilupakan dan dipinggirkan. Kesannya lebih besar apabila ada rakyat yang mula berasa malu bercakap Bahasa Melayu, meremehkan bahasa ini bahkan sampai ada yang tidak tahu berkomunikasi dengan Bahasa Melayu.

Apa yang diharapkan adalah ketegasan kerajaan di dalam mendaulatkan Bahasa Melayu di negara ini. Syarat wajib lulus SPM dalam subjek Bahasa Melayu perlu ditingkatkan dengan syarat lulus dengan cemerlang dalam subjek ini. Bahasa Melayu juga mesti menjadi bahasa komunikasi utama melalui sektor kerajaan mahupun swasta.

DR RIDUAN MOHD NOR
(Pengerusi Lujnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat) – HARAKAHDAILY 6/7/2017