HIV dalam tin?

TERSEBAR dalam dunia maya sejak beberapa tahun lalu isu “komplot” pemimpin Thailand mencemarkan makanan dalam tin dengan darah pesakit HIV. Sebaran maya itu menjadi viral ke semua media termasuk facebook, twitter, blog, wechat, whatsapp dan lain-lain lagi. Kononnya juga tulisan itu menyandarkan Radio 1 FM terlibat dalam pengumuman kerajaan Thai tersebut. (Foto sekadar hiasan)

Advertisement

Saya kira sesiapa yang membuat sebaran tulisan tersebut sebelum membuat pengesahan kesahihan berita, bertabayyun dan berhati-hati dalam menyampaikan info sebegini, tidak bertanggungjawab.

Pertama, Radio 1 FM di Malaysia, tidak wujud pun nama rasmi sedemikian. Yang wujud adalah Radio Klasik Nasional atau RTM1. Radio 1 FM wujud hanya di Santa Catarina, Brazil. Agak tidak munasabah radio Brazil melaporkan berita itu dalam Bahasa Melayu.

Isu kedua, kaedah jangkitan HIV. Ia tidak boleh merebak melalui makanan. HIV hanya berjangkit melalui hubungan kelamin, suntikan jarum penagih dadah, pemindahan darah tercemar kuman HIV, dari ibu yang positif HIV kepada bayi dalam kandungan atau semasa menyusu badan. HIV tidak sesekali menular kepada orang melalui sentuhan kulit, ciuman, ludah, air kencing, najis atau penggunaan barang peribadi yang sama. Jauh sekali ia merebak melalui makanan. Lagipun virus HIV tidak kekal hidup lama di persekitaran lain (selain dari darah manusia atau susu).

Masyarakat umum perlu disedarkan bahaya jangkitan HIV melalui risiko-risiko yang saya sebutkan di atas itu berbanding dengan bahan makanan yang kononnya telah dicemari virus HIV.

dr suhazeliSaya yakin pihak berwajib seperti Kementerian Perdagangan, Kastam, Kementerian Kesihatan dan sebagainya mengambil tanggungjawab memastikan bahan makanan yang masuk ke negara kita melalui sempadan diperiksa dengan teliti. Operasi bersepadu yang dijalankan oleh pihak berwajib itu sudah memadai untuk merampas bahan makanan atau seumpamanya. Undang-undang negara kita sudah ada bagi memastikan tindakan tegas dikenakan jika pengimport membawa masuk makanan tanpa tapisan keselamatan yang ketat termasuk isu yang berkaitan dengan kesihatan makanan. Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 digunakan pakai bagi menahan makanan luar yang tidak memenuhi kriteria. Antara kriteria dan langkah ke arah keselamatan makanan adalah pelabelan makanan, kebersihan makanan, pengawalan bahan tambahan dalam makanan, penggunakan racun perosak, dasar tentang bioteknologi dan garis panduan dalam pengurusan import dan eksport makanan dan pensijilan untuk makanan.

Semoga tiada lagi sebaran jangkitan HIV dalam tin ini selepas ini.