Hukum mendengar lagu berlirik lucah

AL-KAFI #643: HUKUM MENDENGAR LAGU BERLIRIK LUCAH
Ditulis oleh Umar Mukhtar Mohd Noor
Diterbitkan: 07 Julai 2017

Advertisement

SOALAN:

Assalamualaikum Tuan Mufti.

Soalan saya apa hukum mendengar lagu yang mengandungi unsur lucah? Kadangkala radio kat Malaysia ini, tidak menapis lagu2 yang berunsur lucah dan porno. Lagu seperti Despacito dan Shape of You serta Versace on the floor kerap dimainKAN di corong radio. Saya berharap tuan mufti dapat menegur stesen radio yang menyiarkan lagu2 yang tidak baik ini. Bimbang jadi budaya dalam rakyat Malaysia tanpa disedari.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Sememangnya menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk menapis bahan-bahan hiburan untuk didengarinya.

Firman Allah Taala:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Maksudnya: “Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.”
(Surah Luqman, 31:6)

Imam al-Ghazali rahimahullah (W.505) mengkategorikan nyanyian dan lirik yang diharamkan oleh Syarak sebagai nyanyian dan lirik yang merangsang syahwat dan membawa kepada maksiat seperti zina dan arak.

“Faktor ketiga (yang membuatkan sesebuah lagu itu haram) ialah susuan suara itu yakni liriknya. Jika terdapat dalamnya kata-kata yang kotor, keji, cercaan atau pendustaan terhadap Allah Taala dan Rasul-Nya SAW, atau ke atas para sahabat ridhawanullah alaim – sepertima mana yang diratibkan golongan Rafidhah dalam makian mereka terhadap para sahabat dan selain daripada mereka, maka mendengar lirik berkenaan adalah haram sama ada dilagukan atau tidak dilagukan, kerana orang yang mendengar bersubahat dalam dosa sama seperti orang yang melantunkannya.

Begitu juga (haramnya) jika dalam lagu itu diceritakan sifat-sifat peribadi perempuan yang khusus, maka hal ini tidak dibolehkan kerana menceritakan peribadi wanita yang khusus di hadapan ramai lelaki… adapun membuat perumpamaan dalam lagu dengan mensifati wanita pada pipinya, kening, perawakan yang menawan, bentuk tubuh badan, dan segala sifat-sifat kaum manusia, maka padanya ada nazhar. Pendapat yang sahih bahawa hukumnya bukanlah haram pada meletakkan lirik sebegitu, sama ada dinyanyikan dengan lagu atau bukan.

Adapun ke atas orang yang mendengar, maka jangan dikhayalkan sifat-sifat berkenaan bagi wanita tertentu. Sekiranya dikhayalkan jua, maka khayalkan pada yang halal baginya seperti isteri atau hamba perempuannya. Maka jika dikhayalkan akan perempuan ajnabi maka dia melakukan maksiat dengan khayalan dan fikiran itu. Sesiapa yang memiliki sifat sebegini maka hendaklah dia menjauhkan terus diri daripada mendengar lagu.”
Rujuk Ihya’ Ulum al-Din (2/282)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Kali ke-2 pada 12-13 Mei 1981 telah membincangkan mengenai Hukum Nasyid dan Pancaragam. Muzakarah telah memutuskan

Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;

Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;

Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram;

Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat; senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan

Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

Kesimpulannya, jika contoh lagu yang dinyatakan dalam soalan itu bertentangan dengan kaedah yang ditentutkan di atas, maka hendaklah ditinggalkan dan dihentikan penyiarannya di radio-radio tempatan. Kami melihat bahawa penyiaran lagu yang berunsur seks dan lucah di radio-radio tempatan adalah tidak wajar khususnya kepada generasi muda yang mudah terpengaruh dengan budaya tidak bermoral, hedonisme dan melalaikan diri daripada matlamat sebenar hidup ini adalah untuk mencari keredhaan Allah. Namun, kami akui sukar untuk membendung aktiviti yang tidak menepati syariat tetapi diamalkan atau dibudayakan dalam komuniti selain Muslim atas kekangan undang-undang dan sebagainya. Mungkin cadangan ini boleh diajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menilai semula isu penyiaran lagu berunsur seks dan lucah di radio-radio tempatan dengan lebih professional. DJ-DJ radio juga dinasihati agar menapiskan lagu-lagu yang diputarkan agar bersesuaian dengan nilai-nilai kesopanan dan tidak hanya mengejar kemasyhuran semata-mata.

Selain itu kami menyeru masyarakat Islam khususnya anak-anak muda untuk menapiskan lagu-lagu yang didengari kepada yang baik-bak sahaja. Tanggungjawab ibu bapa, guru-guru dan kaum kerabat adalah untuk mendidik generasi kita tentang adab dalam hiburan dan mendengar lagu. Kata Za’ba, “Perangai bergantung pada diri sendiri.” Insafilah diri apabila lagu-lagu yang melalaikan lebih banyak kita dengar sehingga kita meninggalkan membaca dan mendengar al-Quran, jua mendengar kuliah-kuliah fardhu ain dan lain-lain perkara bermanfaat.

Wallahua’lam.