Salah lalu Mahathir adalah salah laku Umno

KALAU Dr Mahathir terus tak jaga mulut, Zahid ugut nak dedahkan salah laku Mahathir sepanjang 22 tahun memerintah negara.

Advertisement

drazman1Saya yakin kedua-dua mereka masing-masing ada simpan rahsia antara mereka. Zahid pernah jadi anak buah Mahathir dan Mahathir pernah jadi boss Zahid.

Tiada siapa yang boleh mendabik dada bahawa dia lebih bersih. Cuma yang membezakan sekarang ialah seorang berkuasa dan seorang lagi sudah tiada gigi.

PAS tak pernah jemu menentang salah laku Mahathir sepanjang 22 tahun pemerintahannya sehingga ramai pemimpin PAS merengkok dalam tahanan ISA malah ada yang dibunuh kejam di Memali.

Bila Zahid ugut nak dedah salah laku Mahathir, ia menguatkan lagi dalil bahawa Mahathir banyak melakukan salah laku yang ditentang oleh PAS selama ini tapi didiamkan saja oleh pemimpin Umno lain. Sekarang baru mereka ugut nak dedahkan salah laku Mahathir. Salah laku selama berpuluh tahun ini telah meninggalkan kesan parut kekal yang hodoh kepada negara. Bukan hanya nasi telah menjadi bubur, tapi buburnya juga telah basi dan berbau.

Salah laku Mahathir bukan atas kapasiti nama dia Mahathir, tapi atas kapasiti dia seorang Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia. Umno adalah parti di mana sekarang Zahid menjadi Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden.

Tanggungjawab atas kerosakan lantaran salah laku Mahathir selama berpuluh tahun ini wajib dipikul bersama oleh semua pemimpin Umno yang pernah bersama Mahathir. Bukan hanya Mahathir seorang diri. Ajaibnya kalau mereka yang pernah menyokong segala tindakan Mahathir selama ini, sekarang mula berlagak suci.

Ketika Mahathir berkuasa dia disanjung, sudah tak ada kuasa dia diperlekehkan oleh bekas anak buah sendiri yang suatu ketika dulu pernah mencium tangannya sehingga ke siku. Itulah resam dunia. Tapi Mahathir seorang tokoh yang sentiasa ingin menjadi pemimpin dan akan memaksa orang lain untuk tunduk di bawah telunjuknya. Bila nak buat apa-apa, dia tak hiraukan apa orang nak kata kerana dialah yang kata Melayu mudah lupa.

Salah seorang Melayu yang mudah lupa ialah Mahathir sendiri.

Antara yang mudah lupa juga ialah mereka yang sekarang ini berada sepentas dengan Mahathir bagaikan terlupa bahawa asbab parti mereka ditubuhkan dulu adalah untuk membela pemimpin besar mereka yang dipecat oleh Mahathir.

Zahid adalah salah seorang pemimpin muda Umno yang bersama Anwar sebelum membuat U-turn untuk kembali menumpahkan ketaatan kepada Mahathir. Barangkali ada juga unsur-unsur kelupaan. – HARAKAHDAILY 9/7/2017