Sama-sama semarak syiar Islam – Awie

PROGRAM Kelantan International Bike Week 2017 yang berakhir malam tadi menyaksikan kelainan apabila pemilik motosikal berkuasa tinggi dibawa melawat sekolah tahfiz.

Advertisement

Maahad Tahfiz Darul Ulum di Kampung Meranti, Pasir Mas pagi semalam menerima kedatangan lebih 100 penunggang motosikal berkuasa tinggi.

Program tersebut diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu bermula pagi Jumaat.

Konvoi peserta ‘charity ride’ itu dilepaskan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Kehadiran mereka disambut penaung institusi pendidikan terbabit, Datuk Nassuruddin dan Mudir Maahad Perempuan, Ustaz  Mansor Daud.

Pelbagai aktiviti diadakan bagi meraikan kehadiran rombongan terbabit yang diketuai artis Datuk Ahmad Azhar Othman (Awie).

Antaranya persembahan nasyid dan dikir barat oleh Kumpulan Watani yang merupakan sebahagian pelajar maahad tahfiz tersebut.

Seekor kerbau disembelih Nassurudin yang juga Adun Meranti untuk jamuan rombongan terbabit dan penduduk tempatan.

Pada kunjungan itu dua kelab permotoran menyerahkan sumbangan kepada maahad tafiz tersebut yang disampaikan Awis mewakili Wings Motor Gangs Society (WMGS) dan Kelab Sukan Rekreasi Petronas Bikers, Syed Azim Syed Alwi.

Awie berharap semua pihak bersama-sama menyemarakkan syiar Islam di negara ini.

“Kita akan bersama-sama untuk mengembali, menyemarakkan semula dan menegakkan semula apa yang kita laungkan mengenai syiar Islam.

“Kita tidak akan selama-lamanya menongkat langit dan rasa beruntung juga kita berkawan dengan orang-orang yang baik,” katanya pada program berkenaan.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada pengurusan institusi pendidikan itu kerana melakukan kelainan berbanding pusat tahfiz yang lain.

Menurutnya juga setiap kelab permotoran mempunyai hubungan rapat dengan rumah anak yatim, institusi pendidikan dan masjid ‘angkat’ di seluruh negara termasuk di Thailand.

“Sehingga kini kita menjadikan sebuah sekolah agama di Kuantan Pahang, Masjid di Manjong, Perak dan di Klang sebagai tempat untuk kita laksanakan program kebajikan.

“Dalam banyak maahad tahfiz yang kita pergi, tiada persembahan dikir barat cuma ada nasyid. Syabas kepada Maahad Tahfiz Darul Ulum Meranti,” katanya.

Kelantan International Bike Week menampilkan pelbagai jenis motosikal berkuasa besar yang datang dari seluruh negara termasuk Thailand.

Sempena program itu diadakan juga pameran motosikal termasuk keluaran BMW dan jualan pelbagai produk berkaitan permotoran.

Orang ramai memenuhi perkarangan stadium sehingga jam 12 malam tadi. – HARAKAHDAILY 9/7/2017