Anwar Ibrahim mangsa konspirasi politik

PAS menganggap Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi mangsa konspirasi politik selagi tiada pembuktian dakwaan terhadapnya secara syarie.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sejak dahulu sehingga sekarang PAS konsisten menuntut bekas perdana menteri itu dibicara di mahkamah syariah.

Katanya, syarak menuntut pembuktian yang jelas terhadap segala tuduhan.

“PAS sejak awal lagi meminta isu-isu yang berkaitan syarak perlu dikembalikan kepada mahkamah syariah. Ini kita harapkan,” katanya pada persidangan media di Kota Bharu hari ini.

Sidang media diadakan sempena mesyuarat Jawatankuasa Induk Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia kali ke-4. Ijtimak tersbut akan diadakan pada 20 hingga 22 Julai ini di Kota Bharu.

Anwar dihukum penjara selama lima tahun atas kesalahan dakwaan liwat II dengan bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Anwar dijatuhi hukuman bagi kesalahan yang didakwa dilakukan di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Ustaz Tuan Ibrahim berkata, Anwar diakui menjadi mangsa politik BN, di mana beliau dipecatkan daripada kerajaan dan ditumbuk sehingga lebam mata.

“Bagi saya kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa Anwar menjadi mangsa politik sebenarnya PAS sudah lama memperkatakan mengenainya.

“Dan akhir-akhirnya selepas tiada tokoh lain maka Pakatan Haraapn cuba hendak menaikkan semula Anwar. Sebenarnya kemelut itu berlaku pada Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Jakim yang mempertikaikan isu menyentuh anjing sebagai tidak wajar.

Menurutnya Jakim bercakap dalam konteks dan tanggungjawabnya untuk memelihara kesuciaan Islam dan ia badan autoriti agama bagi pihak kerajaan. – HARAKAHDAILY 10/7/2017