Duit juga mampu lumpuhkan gerakan Islam

ANTARA cara musuh matikan peranan amilin PAS adalah dengan kuasa duit. Pertama mereka tawarkan kerja dengan gaji yang tinggi. Dengan gaji tersebut amilin PAS yang menjadi pekerja mereka mula membuat pinjaman kereta dan rumah. Apabila amilin PAS itu mula terikat dengan hutang, atau mula mengecap kemewahan, mereka mudah diugut. Kalau tak ikut cakap majikan, mereka akan diberhentikan, dinafikan itu ini dan seumpamanya. Mereka akan kehilangan kemewahan, bahkan akan hidup dengan belenggu hutang yang menyeksakan.

Advertisement

Berapa ramai amilin PAS menjadi mandul setelah berkhidmat di sektor kerajaan? Tanpa dinafi masih ramai yang aktif dalam keterbasan yang ada, tetapi hakikat kemandulan yang wujud tidak boleh dinafi. Mereka yang bijak di sektor kerajaan tidak akan meletakkan diri dalam keadaan terikat, samada bebas dari hutang atau memiliki sumber pendapatan sampingan.

Selain itu, wang juga digunakan untuk mengikat amilin PAS bekerja dalam parti mengikut telunjuk dan kawalan musuh. Contoh paling dekat kita boleh lihat dalam peristiwa penghijrahan besar-besaran bekas pimpinan PAS dan pengikut mereka ke wadah politik lain termasuk menubuhkan parti baharu. Semasa di dalam PAS, sebahagian mereka didanai oleh pihak tertentu untuk bergerak dalam parti.

Umum mengetahui pergerakan pemimpin hatta ahli bawahan PAS memerlukan belanja yang besar. Kos perjalanan, penginapan, penganjuran program, makan minum dan semuanya bukan sedikit. Bagi mereka yang jadi YB, belanjanya lebih besar bagi menyaingi kuasa wang daripada parti pemerintah. Tidak cukup dengan elaun bulanan yang diperuntukkan kerajaan sahaja. Bagi kepimpinan pusat mahupun negeri, lebih terbeban. Mereka tidak memiliki elaun dari jawatan. Mengharap sumbangan atau hasil dari pekerjaan lain.

Justeru apabila pemberi sumbangan tetap kepada amilin PAS bertukar arah, mereka akan memaksa amilin mengikut mereka juga. Jika tidak, pergerakan mereka akan terbantut. Inilah antara jawapan mengapa mereka yang sudah mengikut jalur tarbiah PAS secara solid pun boleh terpesong ke sana. Walaupun tidak pernah terlibat dengan ABIM, JIM, IKRAM atau apa-apa, tetapi boleh terikut dengan mereka kerana telah berjaya dipegang dengan wang.

Kerana itulah Syeikh Mustafa Masyhur menulis di dalam bukunya Durus Min Sirah Nabawiyah, juga Fiqh Sirah nukilan as-Syahid Dr Ramadhan al-Buthi serta beberapa tokoh lain, antara hikmah baginda berniaga adalah supaya pejuang Islam mencari sumber kewangan sendiri dan tidak bergantung dengan sesiapa. Berniaga adalah contoh terbaik bagi diri seorang pejuang.

Saya pernah bertanya Tuan Guru Ayah Chik apakah boleh PAS terima bantuan dari pihak luar, untuk membantu perjuangan kita? Ayah Chik menjawab biarlah PAS usaha sendiri. PAS ramai korporat dan ahli perniagaan. Jana pendapatan dengan keupayaan sendiri. Tidak perlu bergantung dengan pihak luar yang pasti beragenda.

Ayah Chik kemudian bercerita di awal dia balik dari pengajian di Saudi dahulu, negara tersebut pernah tawarkan bantuan bagi membangunkan Maahad Darul Quran milik beliau. Namun beliau menolak kerana dapat menghidu agenda di belakang.

Pihak Saudi juga pernah menawarkan tajaan perubatan kepada beliau. Entah kenapa Saudi begitu baik dengan beliau. Ironinya dalam tulisan-tulisan beliau konsisten mengkiritk langkah politik negara tersebut. Pemimpin beberapa negara lain turut menawarkan bantuan. Tetapi Ayah Chik menolak semuanya.

Ayah Chik tegas membawa prinsip menolak sebarang unsur mempengaruhi diri melalui wang ini bukan sekadar dalam PAS, malah dalam Kesatuan Ulama Islam Sedunia sendiri. Dalam sebuah mesyuarat, salah seorang anggotanya meminta KUIS agar lebih cermat dalam memberikan apa-apa pandangan, supaya tidak bertembung dengan polisi pemerintah Qatar. Ini kerana operasi KUIS banyak dibantu oleh kerajaan Qatar.

Ayah Chik cukup pantang dengan sikap ini. Beliau terus menjawab dengan keras kepada yang berkata itu. Tegasnya, bantuan yang KUIS terima tidak boleh mengikat pertubuhan tersebut dari berpandangan bebas mengikut lunas ilmu agama Islam.

Pemikiran Ayah Chik ini perlu dihadam sebaiknya. Bukan sekadar untuk PAS, tetapi juga untuk diri sendiri. Pepatah moden Inggeris yang menyebut cash is king, adalah realiti yang perlu diwaspadai.

Amilin PAS perlu berhati-hati dengan dana atau sumbangan sama ada dari luar mahupun dari dalam, khususnya daripada individu yang boleh menimbulkan wasangka. Ancaman ini akan sentiasa wujud, selagi mana duit masih bernilai. Jika belum terjebak, jangan sesekali bermain api. Jika sudah terjebak, maka bersedialah menunggu masa untuk memilih antara wang dan prinsip. – HARAKAHDAILY 10/7/2017