Myanmar suka reaksi Umno atas DOJ?

SubkyLatif

SIAPAKAH agaknya paling gembira dengan reaksi Umno atas dakwaan DOJ – Jabatan Keadilan Amerika dan Amerika terhadap gelora yang dialami 1MDB?
     
Tentulah Myanmar. Kerajaannya dan rakyatnya yang bersama gerakan sami Buddha di negara itu.
      
Apa yang mereka suka sangat dengan Umno itu?
      
Justeru rata-rata pemimpin tinggi Umno dan orang yang tergila-gila dengan Umno mengira dakwaan DOJ yang sedang mengambil tindakan untang-undang terhadap orang-orang yang dipercayainya berbelanja mewah di Amerika dengan menggunakan duit yang dikatakan dilarikan daripada 1MDB.
       
Lebih lagi DOJ mengaitkan apa yang dipanggilnya MO1 – pegawai nombor satu Malaysia – ada peranan dalam angkara itu. MO1 itu disahkan oleh Datuk Abdul Rahman Dahalan, menteri di Jabatan Perdana Menteri ialah Perdana Menteri sendiri.
       
MO1 DOJ Malaysia dan rata-rata pemimpin Umno mengira tindakan DOJ tidak berasas sambil menempelak Amerika campur tangan  dengan urusan dan politik Malaysia.
      
Maka serentak semuanya menyelar apa yang dikatakan campur tangan asing dan menggesa sekaliannya menentang campur tangan asing itu.
      
Campur tangan asing boleh menjejaskan kemerdekaan dan kedaulatan negara. Paling ketara campur tangan asing ia konfrantasi Sukarno dulu. DOJ ini mungkin yang kedua.
      
Habis, bagaimana Myanmar boleh suka isu DOJ atas gelora 1MDB itu? Kerana yang mengaitkan DOJ dikatakan campur tangan atas kedaulatan Malaysia dan kerajaannya.
      
Myanmar adalah menolak sikap dunia termasuk Malaysia atas penindasan kerajaan dan majoriti rakyatnya terhadap umat Islam Rohingya. Hak kerakyatan Rohingya dinafikan, kampung mereka dikepung, dibakar, dibunuh, diusir dan lain-lain.
       
Malaysia adalah antara pihak yang lantang agar PBB, OIC dan ASEAN campur tangan atas penyembelihan dan pengusiran Rohingya itu. Malah Malaysia mengirim kapal keamanan membawa makanan dan bantuan ke Myanmar untuk Rohingya yang ditindas.
       
Tindakan Malaysaia dan rakyatnya itu ditentang oleh kerajaan dan gerakan sami Buddha, bahkan rombongan keamanan itu disekat. Semua tindakan kemanusiaan Malaysia dan pejuang kebebasan-kemanusiaan dunia itu dikira oleh mereka satu campur tangan asing terhadap kebebasan dan kemerdekaan Myanmar.
      
Malaysia, umat Islam dan pejuang keamanan dunia pernah memainkan peranan penting membantu perjuangan kebebasan pimpinan nyonya Myanmar daripada belenggu dan penindasan junta tentera yang berpuluhan tahun itu.
       
Tindakan dunia itu termasuk orang Malaysia telah membantu pimpinan nyonyanya membebaskan Myanmar daripada penindasan tentera. Sekarang tindakan sama yang diberi terhadap Rohingya itu mereka kira sebagai satu campur tangan yang tidak dikehendaki kerana ia kononnya mencampuri urusan kemerdekaan dan kedaulatannya.
       
Malaysia adalah paling aktif membela Rohingya itu. Tindakan Malaysia itu ditentang Myanmar kerana campur tangan asing.
      
Sedang mereka menempelak Malaysia campur tangan dalam urusan Myanmar, maka Umno dan  MO1-nya berhadapan dengan dakwaan DOJ. Tindakan DOJ itu adalah untuk mendapatkan kembali duit yang dilarikan dan telah dibancuh di Amerika. DOJ mahu memulangkan duit kepada Malaysia.
      
Umno kata, ia adalah percubaan campurtangan Amerika atas politik dan kemerdekaan Malaysia. Yang Umno dan apa yang dikatakan MO1 tohmah DOJ dan Amerika itu samalah dengan tohmah yang pimpinan nyonyanya, kerajaan dan orang Myanmar terhadap Malaysia.
      
Myanmar mendakwa menolak campur tangan asing atas kedaulatannya. Umno pun tolak apa yang didakwanya DOJ  campur tangan urusan Malaysia.
     
Nampaknya sama saja MO1 dan nyonya, Umno dan regim Myanmar. Sama-sama menggunakan campur tangan asing bagi menolak seruan keadilan/kebenaran. – HARAKAHDAILY 10/7/2017

Advertisement