Jangan skeptikal, beri ruang hukum Islam selesaikan jenayah

riduan1

1. KEPUTUSAN Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) pada 12 Julai 2017 adalah suatu kejayaan buat umat Islam di negeri Kelantan khasnya dan Malaysia umumnya. Bagi umat Islam yang mencintai agamanya, ia adalah suatu khabar gembira dan kita semua wajar merasa bersyukur dengan usaha kerajaan Kelantan itu.

Advertisement

2.    Antara lain RUU itu nanti adalah pindaan yang membolehkan seseorang yang dihukum bersalah disebat di khalayak, penguat kuasa agama boleh menggunakan gari ke atas suspek dan video boleh dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan.

3.    Seharusnya umat Islam memandang positif usaha Kelantan mendaulatkan undang-undang Islam. RUU ini adalah merupakan sebahagian daripada persiapan untuk melaksanakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) (yang dibentangkan) jika ia diluluskan di Parlimen kelak. Ia memberi gambaran bahawa Kelantan yang diterajui PAS benar-benar serius melaksanakan undang-undang Islam di negeri itu, sekali gus memadam tohmahan bahawa PAS sekadar beretorik dengan Undang-Undang Islam (Hudud), hanya janji politik kosong, politik meraih simpati, tidak berani melaksanakannya dan seribu satu lagi dakwaan liar.

4.    Dalam keadaan demikian, tidak kurang yang bersikap skeptikal dengan memberi pelbagai pandangan negatif terhadap usaha kerajaan Kelantan. Pandangan seorang peguam Nik Elin Nik Rashid yang disiar dalam sebuah portal dengan menganggap langkah kerajaan negeri itu “sangat terkebelakang” dan menyamakan hukuman sebat pesalah syariah di khalayak dengan “kegasaran” iaitu menyerahkan pesalah dan tahanan perang kepada singa lapar di zaman Rom purba. Beliau juga menganggap hukuman sebat kelak akan menjadi bahan hiburan rakyat Kelantan yang dahagakan hiburan di mana mereka boleh menonton wanita disebat kerana kesalahan moral seperti zina, minum arak dan liwat. Bahkan beliau mendakwa bukan sahaja kerajaan Kelantan terlupa “makna sebenar” Islam, ia memaparkan pula versi Islam yang “gasar dan mundur”.

5.    Tan Sri Zainuddin Maidin dalam suatu kenyataan pula dengan nada menyindir meminta Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz menjadikan hukuman sebat di Kelantan sebagai tarikan pelancong. Kumpulan Sisters Ini Islam (SIS) juga galak dengan kenyataan yang menyifatkan langkah terbaru kerajaan Kelantan sebagai selangkah lebih dekat kepada satu lagi bentuk hukuman “tidak bertamadun”.

6.    Bagi saya, pandangan mereka semua ini sangat dangkal dan tidak rasional. Sepertinya mereka takut dan gusar dengan hukuman sebat yang akan dilaksanakan seakan ‘takut dengan hantu di siang hari’. RUU ini baharu sahaja dalam proses kelulusan DUN Kelantan, tetapi mereka sudah bertempik mengkritik dan menghentam dengan penuh prejudis.

7.    Sedangkan jika mereka perhalusi dan mengkaji undang-undang dan pelaksanaan Islam bukannya bersifat menzalimi manusia, tetapi lebih kepada mendidik pesalah dan orang ramai. Tidak timbul ia mengaibkan pesalah dan menjadi bahan hiburan atau tontotan awam, kerana jika ia benar-benar dilaksanakan kelak, bakal membuatkan orang lebih gerun melakukannya. Jika kesalahan sebat dianggap mengaibkan, maka adakah pesalah rela diaibkan di khalayak ramai dengan sengaja mahu melakukan jenayah itu jika sedar kesan dan akibatnya? Justeru, Islam mengutamakan pendidikan daripada hukuman, dan dengan sebat di khalayak ini ia sebagai pendidikan paling ampuh agar tidak ada manusia bercita-cita mahu melakukan jenayah.

8.    Jika benar dakwaan mengatakan bahawa Kelantan menyaksikan kadar tinggi dalam pornografi, rogol dan sumbang mahram, maka RUU yang diperkenalkan oleh kerajaan Kelantan itulah penyelesaiannya. Semoga dengan itu, kadar jenayah, rogol dan sumbang mahram dapat dikekang atau diturunkan. Bagi kerajaan Kelantan, itulah satu kaedah bagi mengawal keruntuhan moral di negeri itu dan banyak lagi kaedah lain yang sedang diusahakan.

9.    Sepatutnya, para pengkritik memberi ruang kerajaan Kelantan melaksanakan RUU ini bagi melihat keberkesanannya. Lihat kesannya dalam tempoh lima tahun, jadikan sebagai rujukan dan kajian, maka selepas itu buatlah suatu pandangan atau kritikan. Jangan mudah mengkritik sebelum sesuatu cadangan itu dilaksanakan.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat