Kelantan cakna ‘bikers’ maut kemalangan

KEMALANGAN motosikal berkuasa tinggi yang meragut nyawa peserta Kelantan International Bike Week telah mendapat perhatian Kerajaan Negeri Kelantan.

Advertisement

Pada kejadian 7 Julai itu, dua penunggang maut dalam kemalangan berasingan di Lebuh Raya Timur – Barat berhampiran Gerik.

Mereka ialah Shahrim Saad dari Permatang Buloh, Kepala Batas dan Amran Shuib dari Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, masing-masing berusia 50 tahun.

Turut cedera adalah Muhammad Irfan Farihin, 24 tahun iaitu anak kepada Shahrim yang mengalami patah tangan dan kecederaan luaran.

Simpati dengan kejadian tersebut, pihak kerajaan negeri telah memperuntukan sumbangan kepada keluarga kedua-dua mangsa terbabit.

Sumbangan telah disampaikan oleh Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Beliau yang mewakili Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob telah berkunjung ziarah ke kediaman arwah Shahrim di sini petang semalam.

Turut serta adalah Pengarah Urusetia Belia dan Sukan Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Afnan Hamimi Datuk Taib Azzemudin.

Kehadiran mereka turut disambut Adun Sungai Dua, Datuk Muhammad Yusoff Mohd Nor dan anggota Multilevel Superbikes Owner Club serta ahli keluarga Shahrim.

Manakala pada sebelah malamnya, Abdul Fattah bertemu keluarga arwah Amran di restoran keluarganya di Sungai Petani yang kebetulan mengadakan majlis tahlil.

Sumbangan diserahkan beliau kepada isteri arwah disaksikan anggota Fun Ride Bikers dari negeri itu, Ipoh dan Yala, Thailand serta pekerja restoran tersebut.

Pertemuan ringkas itu turut disertai Yang DiPertua PAS Kawasan Sungai Petani, Ustaz Ahmad Fadzli Hashim dan Ketua Pemudanya, Ustaz Mohd Haiqal Abdul Mutalib.

Menurut beliau, pihak Kerajaan Negeri Kelantan merasa sedih dan prihatin dengan harapan kedua keluarga tabah menghadapi kejadian menimpa.

Katanya, Datuk Ahmad berkeinginan menemui keluarga mangsa dan menanti mereka sebagai tetamunya jika berkunjung ke negeri Serambi Makkah itu.

Ujar Abdul Fattah, beliau merasa terharu dengan keakraban hubungan sesama anggota ‘bikers’ yang seperti keluarga besar.

Jelasnya, perhatian sesama anggota pada detik seperti itu amat penting dan bermakna dalam memberi sokongan kepada keluarga arwah atas ujian dihadapi.

Rombongan beliau pada kedua-dua ziarah telah diiringi ARC Pulau Pinang dan ARC Kedah. – HARAKAHDAILY 14/7/2017

CaknaBike 1

CaknaBike 2CaknaBike 3