PAS sokong pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Kelantan

nasrudin

1. PAS sokong usaha Kerajaan Kelantan yang meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Pindaan) 2017 bagi memperkasakan institusi Mahkamah Syariah di negeri itu.

Advertisement

2. Walaupun pindaan tersebut masih tertakluk kepada Pindaan Akta 355 yang masih diperingkat awal pembentangannya di Dewan Rakyat, ia menunjukkan keseriusan yang tinggi dalam mengangkat martabat mahkamah syariah sebagai institusi keadilan umat Islam.

3. Isu hukuman sebat yang dibolehkan pelaksanaannya secara terbuka, lebih hangat dibahas berbanding aspek yang lain seperti penambahbaikan prosedur melibatkan kehakiman, pendakwaan, penguatkuasaan serta guaman syarie.

4. Lebih malang, setengah pihak hanya nilai hukuman sebat di khalayak secara picisan, tidak kepada aspek hukuman yang lebih menyeluruh. Mereka anggap Kerajaan Negeri Kelantan khasnya, dan PAS amnya adalah seolah-olah “kerajaan menghukum”.

5. Datuk Noor Farida Ariffin juga ‘echoing’ kenyataan beliau terdahulu yang lantang menentang aspek kanun jenayah syariah terutama di Negeri Kelantan. Kenyataan ringkas beliau juga disiarkan oleh akhbar The Star bertarikh 13 Julai 2017 yang mendakwa: “All PAS is interested in is punishment, punishment and more punishment.”
“PAS hanya kelihatannya berminat untuk menghukum, menghukum dan menghukum.”

6. Begitu juga kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Chandra Muzaffar yang mengatakan: “It shows their continue adherence to an interpretation of syariah that is obsessed with punishment.”

“Ini menunjukkan mereka terus menerus menginterpretasi syariah sebagai suatu yang obses terhadap menghukum (orang).”

7. Ironi sekali, disebalik kelantangan mereka kritik tindakan Kelantan sebagai “obses dalam menghukum”, mereka juga sedang – sedar tidak sedar –  “menghukum” Kelantan tanpa melihat kepada aspirasi sebenar tindakan yang diambil. Apakah mereka juga “obsess” menghukum pihak lain tanpa penelitian yang mendalam?

8. Saya kira pihak yang menentang keras soal hukuman – khusus hanya kepada hukuman Islam – adalah dikalangan mereka yang tidak memahami perbezaan antara aspek hukuman (the punishment) dan langkah terhadap keselamatan sosial (the measure of social defence).

9. Aspek hukuman perlu melalui proses penggubalan undang-undang dan sebagai sebuah kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat Negeri Kelantan, sudah pasti mereka berhak menggubal perkara tersebut sesuai dengan lunas perundangan yang ada.

10. Adapun langkah terhadap keselamatan sosial, ia juga berlaku dari sudut yang lain. Program yang diatur oleh kerajaan negeri kesemuanya berasaskan kepada prinsip ‘amar ma’ruf dan nahi mungkar’ iaitu mengajak manusia taati Allah SWT, lakukan kebaikan dan tinggalkan kerosakan.

Inilah pendidikan serta langkah keselamatan kepada masyarakat yang diluncurkan kepada rakyat Negeri Kelantan.

11. Malang sekali, mereka leka menegakkan benang basah dan memberikan pandangan yang jauh dari kebenaran. Mereka lihat dari satu sudut yang sempit. Anda tidak mampu beri gambaran seekor gajah yang besar jika anda hanya memegang pada bahagian kakinya. Namun, begitulah yang berlaku hari ini.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
14 Julai 2017 / 20 Syawal 1438 – HARAKAHDAILY 14/7/2017