PAS Kedah sedia tanding semua Dun, parlimen

DALAM Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu, PAS telah bertanding sebanyak 24 kerusi Dewan Undangan Negeri  (Dun) Kedah, iaitu dengan mengekalkan bilangan kerusi yang ditandingi oleh PAS pada PRU ke-12. Manakala jumlah kerusi Parlimen dalam negeri Kedah yang ditandingi PAS pada tahun 2008 dan 2013 pula, adalah 8 kerusi.

Advertisement

Memandangkan suasana politik hari ini berbeza daripada senario PRU yang lalu kesan daripada pengisytiharan DAP bahawa Pakatan Rakyat telah berkubur serta tindakan PKR yang sering membelakangkan tahaluf siyasi ketika bersama PAS sehingga muktamar membuat keputusan memutuskan persefahaman politik antara kedua-dua parti berkenaan, maka PAS Kedah bersetuju untuk sedia bertanding di 36 kerusi Dun Kedah dalam PRU ke-14.

Telah menjadi tradisi PAS untuk meletakkan calon di kerusi majoriti Melayu menentang BN, namun pada PRU ke-14 ini PAS cuba meneroka kerusi majoriti 60 peratus Melayu atau meletakkan calon DHPP di kerusi yang berpotensi.

Keputusan muktamad mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi PAS Kedah walau bagaimanapun, tertakluk kepada kehendak PAS Pusat berasaskan kajian yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkenaan dengan mengambil kira kewujudan blok Gagasan Sejahtera.

PAS Kedah juga bersedia untuk bertanding di 15 kerusi Parlimen dalam negeri ini, dan ia juga tertakluk kepada keputusan PAS Pusat.

PAS Kedah berpendirian bahawa sudah tiba masanya jentera pilihan raya PAS kawasan merintis semula kerusi Dun dan Parlimen yang ditandingi oleh rakan parti politik PAS suatu ketika dahulu supaya persediaan yang dibuat dapat meyakinkan rakyat bahawa PAS lah sebaiknya pilihan mereka.

DR AHMAD FAKHRUDDIN SYEIKH FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 16/7/2017