Elaun guru pelatih disekat, Permata Pintar dapat dana

NGO Persatuan Gerakan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneliti semula tindakan menghentikan elaun sara hidup dan perjalanan kepada guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) mulai Jun 2018 tahun hadapan.

Advertisement

Presiden Pendidik Normala Sudirman berkata, masih belum terlambat untuk kerajaan menarik balik pengumuman yang dibuat sebagai langkah mengangkat martabat dan profession perguruan dalam persada politik negara.

Beliau mempersoalkan apa rasionalnya tindakan ini dilakukan seolah-olah peranan mereka yang bakal mendidik anak bangsa dikesampingkan dan secara tidak langsung dibimbangi bakal membunuh minat bagi bakal guru yang bercita-cita untuk menjadi pendidik yang baik suatu hari nanti.

Bahkan katanya, cadangan agar guru pelatih disaran memohon pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menampung keperluan hidup mereka juga dianggap  tidak relevan dan membuktikan bahawa kerajaan seolah-olah tidak prihatin terhadap nasib bakal guru sekali gus menunjukkan berlaku diskriminasi dalam sektor pendidikan berbanding bidang pekerjaan yang lain.

“Kita perlu sedar bahawa profesyen perguruan adalah perkhidmatan yang sukar diukur dengan  nilai wang ringgit apatah lagi tugas mendidik adalah suatu tugas yang mulia meskipun mencabar. Gaji mereka setelah menjadi guru hanyalah memadai untuk mereka dan keluarga menjadi golongan yang hidup dalam keadaan sederhana dan tidak mewah sebagaimana profesyen lain .
 
“Selain memiliki tangga gaji tahap sederhana, mereka dibebani tugas-tugas kerani yang banyak walaupun fokus utama mereka adalah pengajaran dan pembelajaran murid di dalam kelas.

“Hanya insan yang memiliki kesabaran yang tinggi sahaja mampu menjadi seorang guru yang berdedikasi dan gigih  dalam mendidik anak bangsa apatah lagi pada zaman zaman IT dan era globalisasi yang penuh dengan cabaran dalam membentuk disipilin dan moral yang tinggi kepada anak bangsa,” katanya kepada Harakahdaily.

Jelas beliau, walaupun pembiayaan bagi mereka yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) akan diteruskan,tetapi menghentikan elaun sara hidup dan perjalanan bermula tahun depan bagi bakal guru pelatih di mana khidmat mereka diperlukan untuk mendidik anak bangsa tidak dapat diterima sama sekali.

Kerajaan dalam masa yang sama juga telah mengumumkan mereka yang mengikuti Program PISMP  akan terus menerima RM430 sebulan untuk elaun sara hidup dan elaun perjalanan tidak lebih RM500 setahun sehingga mereka tamat pengajian.

“Selain itu, elaun dan yuran kursus di IPG satu tahun bagi program pra-PISMP sebanyak RM8,163 juga akan dibayar oleh kerajaan. Yang menyedihkan, situasi ini tidak berlaku kepada bakal guru pelatih di mana elaun guru pelatih di IPG pula yang bakal dihentikan sama sekali berkuatkuasa Jun tahun depan.

“Kita rasa kesal dengan tindakan kerajaan seolah -olah bersikap tidak adil dan mengamalkan sikap diskriminasi apabila mengumumkan pembiayaan bagi mereka yang mengikuti PISMP diteruskan tetapi dalam masa yang sama menghentikan elaun sara hidup dan tuntutan perjalanan bagi guru pelatih bermula Jun 2018,” tegas beliau.

Justeru, Pendidik mendesak kerajaan agar jangan menyukarkan usaha mereka dalam menimba ilmu dan belajar pedagogi serta mendalami ilmu perguruan dengan menghentikan elaun mereka sepanjang menuntut pengajian seterusnya seolah-olah mahu menggalakkan mereka berhutang.

“Persoalannya, mengapakah Program Permata Negara boleh diberikan peruntukan jutaan ringgit, sedangkan elaun guru pelatih mahu dihentikan pula?” soalnya.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon mengumumkan KPM akan menghentikan elaun sara hidup dan perjalanan kepada guru pelatih mulai Jun 2018 tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 16/7/2017