Ketegasan DAP terhadap rasuah tidak konsisten

KEENGGANAN menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) menunjukkan bahawa Kerajaan DAP Pulau Pinang keliru dan celaru terhadap prinsip asas serta perjuangan didokongnya. Malah, mengukuhkan persepsi umum terhadap pemerintahan itu yang terpalit dengan skandal rasuah.

Advertisement

DAP seolah-olah mengesahkan keraguan awam terhadap mereka dan lebih mengecewakan, keengganan itu seakan isyarat untuk tidak bersama pihak lain dalam memerangi amalan buruk dan tercela itu. Apakah kerana DAP telah terjangkit penyakit demikian maka ia malu untuk turut berkomitmen?

Kononnya prinsip Cekap, Amanah dan Telus (CAT) dilaksanakan sejak 2008 lebih berkesan dalam usaha menangani rasuah dan penyalahgunaan kuasa berbanding IBR. Jika demikian mengapa satu demi satu skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa terbongkar serta menghadapi penyiasatan dan pertuduhan?

Sewajarnya dalam sebarang usaha rasmi, langkah diseiringkan supaya wujud kesepaduan menghadapinya, tetapi Kerajaan DAP seakan mencipta dwi-standard. Inilah namanya angkuh dan sombong bak kata pepatah “Kokok berdegar-degar, tetapi punggung bergelumang tahi”.

Bermakna CAT hanyalah alasan dan slogan semata-mata, tetapi hakikatnya Kerajaan DAP tidak punya ‘perasaan benci’ pada rasuah, melainkan menjadikan ia modal politik kepada lawan. Tapi bila diri sendiri terpalit, tidak merasa bersalah, sebaliknya mengecualikan dan menjauhkan diri.

Bahkan perjuangan menentang kleptokrasi yang gah dilaungkan kepimpinan tertinggi DAP hanyalah satu retorik di mana kini terlihat kepura-puraan itu secara nyata. Mereka sepatutnya belajar dengan Kerajaan PAS Kelantan yang lama memerintah tetapi terbuka dan tidak pernah berhadapan isu rasuah.

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOF
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang
16 Julai 2017 | 22 Syawwal 1438 – HARAKAHDAILY 16/7/2017