Mengapa perlu tergugat dengan persiapan PAS?

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Permatang Pauh diingatkan agar cermat dan matang dalam membuat telahan agar tidak keterlaluan mengaitkan usaha dilakukan PAS sebagai memberi talian hayat untuk melestarikan impian rejim zalim Umno-BN mengganggu Parlimen Permatang Pauh.

Advertisement

Pelancaran Jentera Pilihan Raya adalah sebahagian rutin dalam gerak kerja dan operasi PAS sebagai parti politik. Ia bukan perkara baharu, tetapi menyegarkan semula penyusunan dan keupayaan jentera. Malah, ia dilakukan mengikut lunas-lunas dan keterbukaan demokrasi yang diamalkan dalam negara ini.

Bahkan, PAS telah lama menentang Umno-BN dan kekal menjadi lawan parti pada PRU14 nanti. PAS bukan sahaja beriltizam BN ditumbangkan di negeri-negeri, bahkan mengambil alih sebanyak mungkin Parlimen. Kerana PAS memiliki kekuatan jentera menyeluruh serta mampu melakukan gerak kerja pilihan raya.

Apakah AMK tidak sedar atau terlupa bahawa PAS dan PKR sudah tidak mempunyai ikatan kerjasama politik (tahaluf siyasi) bagi menghadapi pilihan raya? Mengapa perlu merasa tergugat atau terancam sedangkan AMK juga mempunyai tanggungjawab menggerak dan mengembleng kekuatan sendiri?

Jangan merasa takut kepada bayang-bayang sendiri dan merasa perolehan kerusi secara persaingan sihat sebagai milik mutlak hingga menghalang hak demokrasi yang ada. Sebagai orang muda jangan ditunjukkan sikap lemah tenaga dan skeptikal yang boleh membawa kepada tuduhan melulu.

Zahir dan buktikan kemampuan, biar rakyat menilai serta menjadi penentu kerana kita yakin mereka bijak sebagai pemilih demi masa depan. Pelancaran yang PAS Kawasan Permatang Pauh adakan semalam adalah persediaan dan komitmen PAS untuk memastikan Umno-BN tidak merampas Parlimen itu. – HARAKAHDAILY 17/7/2017