Nasib malang IPG dan guru pelatih

takiri1

AHLI Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendesak agar kerajaan menarik semula keputusan menghentikan elaun sara diri yang diberikan kepada para pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (ISMP) bermula ambilan Jun 2018.

Advertisement

Apa yang mengecewakan katanya, para pelajar ini diminta untuk mendapatkan pinjaman daripada PTPTN sama seperti penuntut-penuntut di bidang dan universiti yang lain.

Katanya, Institut Pendidikan Guru (IPG) yang terlibat dengan perubahan status ini mula mengurangkan atau menamatkan pengambilan baru.

“Baki 16 buah IPG lain pun ada yang membuat tindakan yang sama berikutan masalah kekurangan peruntukan yang dihadapi.

“Kesan jangka panjang daripada keadaan ini ialah sektor pendidikan peringkat rendah di negara ini bakal menghadapi masalah kekurangan guru berijazah dalam bidang berkenaan dan nisbah antara guru dan murid juga semakin meningkat,” katanya kepada Harakahdaily.

IPG adalah institusi yang sangat penting bagi melatih bakal guru sekolah rendah lebih-lebih lagi pada masa ini yang mempunyai 7,772 buah sekolah rendah dan 2,685,403 murid

Peranan penting yang dimainkan oleh IPG ini sehinggakan ia dinaiktaraf daripada  Maktab Perguruan kepada IPG yang boleh menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (ISMP).

Malangnya, sembilan daripada 27 buah IPG ini bakal diubah statusnya kepada Kolej Vokasional dan Politeknik; dan dua lagi diubah kepada PERMATA Pintar dan Berbakat Centre.

Apa yang membimbangkan tambah beliau, selain dibebankan dengan banyak tugasan, kini guru pelatih ini dibebankan pula dengan masalah hutang pendidikan.

“Saya sangat yakin bahawa ia akan menjejaskan kualiti pendidikan di negara kita pada suatu hari nanti.

“Sedangkan, kerajaan sering mendabik dada mengatakan bahawa ekonomi negara semakin kukuh; pertumbuhan diunjurkan meningkat sebanyak 0.1% hingga 0.6% pada 2017; harga minyak dan minyak sawit mentah semakin stabil; harga komoditi semakin pulih; GST berjumlah RM42 bilion; dan bermacam-macam petunjuk ekonomi lain lagi yang dijaja,”tegas beliau.

Justeru beliau turut  menggesa kerajaan menyediakan peruntukan bagi membaik pulih dan menaik taraf prasarana dan fasiliti serta program di IPG supaya latihan perguruan yang dijalankan dapat meningkatkan lagi kualiti guru pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 17/7/2017