Banyak NGO mohon sertai ijtimak antarabangsa

KERAJAAN negeri menerima banyak permohonan untuk menyertai Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia, namun tumpuan kepada NGO dakwah sahaja.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana ijtimak terbabit, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, begitu juga parti yang tidak terlibat dengan dakwah tidak dijemput.

“Tetapi mereka akan dijemput menyertai Ijtimak Kelantan 2017 pada malam 22 Julai di stadium bagi menunjukkan solidariti umat Islam bersama kepimpinan dunia Islam,” katanya di Kota Bharu.

Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia kali ke-4 akan diadakan di Kota Bharu bermula Khamis hingga Sabtu ini. Ia dianjurkan kerajaan Kelantan dengan kerjasama Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Kemuncak program itu pada hari Sabtu malam Ahad di mana tokoh-tokoh ulama dunia akan menyampaikan ucapan di Stadium Sultan Muhammad Ke IV.

Che Abdullah yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, peserta seminar dakwah dan nadwah ulama dibuat melalui jemputan.

“Sekretariat akan beroperasi 24 jam dan akan disediakan nombor telefon dan maklumat tempat-tempat penginapan di sekitar Kota Bharu untuk memudahkan orang ramai yang hadir,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2017

ijtimak tentatif