Muslimat disaran rebut peluang hadiri ijtimak

GOLONGAN muslimat di seluruh negara disaran merebut peluang menghadiri Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia Kali Ke-4 yang bermula Khamis ini.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Mumtaz Md Nawi berkata, program itu berlangsung selama tiga hari bermula 20 Julai.

Katanya, acara kemuncak pada malam 22 Julai yang menyaksikan tokoh-tokoh ulama dunia menyampaikan ucapan di Stadium Sultan Muhammad Ke IV.

“Program khas untuk muslimat pula akan diadakan pada 20 Julai jam 3 petang bertempat di KTC.

“Diharapkan semua muslimat mengambil peluang mengikuti program tersebut bersempena seminar dakwah dan nadwah ulama bagi membincangkan isu-isu sejagat,” katanya di Kota Bharu.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat Kelantan, Wan Ubaidah Omar berkata, kehadiran orang ramai pada ijtimak tersebut dapat menggambarkan solidariti umat Islam menangani isu semasa yang berlaku sekarang.

“Saya ingin mengajak semua wanita untuk bersama-sama menyertai Ijtimak Kelantan,” katanya.

Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim berkata, peluang tersebut tidak sewajar dilepaskan rakyat Kelantan untuk bertemu dengan tokoh dakwah dan gerakan Islam dari 27 negara. – HARAKAHDAILY 18/7/2017