Siapa sebenarnya ada kuasa eksekutif dalam PH?

PAKATAN Harapan dianggap terpaksa mewujudkan tiga jawatan utama dalam struktur pakatannya bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

Advertisement

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, jawatan ketua umum, pengerusi dan presiden seperti terpaksa diwujudkan mereka.

“Kita pun tidak tahu siapa sebenarnya yang mempunyai kuasa eksekutif dalam pakatan terbabit,” katanya kepada media selepas majlis Mesra Aidilfitri Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) bersama warga media di Kota Bharu semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Abdul Rahman Yunus.

Baru-baru ini Pakatan Harapan mengumumkan jawatan utama dalam organisasinya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum, Tun Dr Mahathir Mohamad (pengerusi) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (presiden).

Manakala bagi jawatan timbalan presiden dinamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan berkata, PAS bersedia berdepan dengan Pakatan Harapan tanpa mengira siapa yang mengetuai pakatan terbabit.

“Bagi kita, tetap akan lawan, biar siapa pun pemimpin dalam Pakatan Harapan. Begitu juga Umno yang menjadi musuh tradisi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/7/2017