100 hari PH tanpa agenda Islam

KENYATAAN pemimpin DAP Johor, tidak nampak konsep politik Parti Amanah Negara (PAN) memperjuang Islam progresif, kini semakin nampak jalurnya.

Advertisement

Pengarah Pendidikan Politik Johor, Mahdzir Ibrahim sebelum ini berhujah, beliau belum mendengar PAN memperjuangkan konsep tersebut berbanding PAS.

Ini dibuktikan lagi dalam tawaran dikemukakan Pakatan Harapan (PH), tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, agenda Islam seperti dikesampingkan.

Harapan hanya menyebut menghapus GST, menstabilkan harga petrol, meringankan beban rakyat, proses reformasi institusi secara menyeluruh, memerangi rasuah, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja Skandal 1MDB dan memulihkan Felda.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sepatutnya agenda Islam turut diutamakan berdasar komposisi kaum di negara ini.

Katanya, Islam ada agenda perjuangannya tersendiri yang menjadi tanggungjawab bagi setiap Muslim.

“Kalau sekadar hendak sebut agenda umum kebajikan untuk rakyat, orang lain pun boleh sebut. Islam perlu disempurnakan kerana ia perintah dari Allah Taala,” katanya pada ceramah di perkarangan Pejabat PAS Dun Pasir Pekan di Kampung Paloh, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Perhubungan PAS, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub; anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood; Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dan Naib Yang Dipertua PAS Tumpat, Wan Ruslan Wan Hamat. – HARAKAHDAILY 19/7/2017