Anjing: Perumpamaan yang kena sasaran!

PERUMPAMAAN yang digunakan dalam ucapan atau tulisan menunjukkan betapa kaya seseorang terhadap seni bahasa dalam menyampaikan mesejnya. Tatkala ia mengundang reaksi, ketika itulah dapat dilihat pelakunya. Ketepatan memilih perumpamaan menyebabkan sasaran bagai terenjat dan tersentap dengan seringkali melompat atau melatah, menghadirkan tindak balas berlebihan yang makin memualkan.

Advertisement

Begitulah hebatnya Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam mengemukakan perumpamaan dalam ucapan dan tulisannya. Selalu sahaja ada pihak tidak senang duduk bagaikan ‘cacing kepanasan’, lalu melenting, memutar belit, membidas dan memburuk-burukkannya kerana perumpamaan digunakan. Perkara sama juga dilakukan media-media tertentu yang ghairah untuk memberi imej negatif padanya.

Selain tindak balas penolakan dan penafian, ada yang membidas perumpamaannya keterlaluan, celupar, tidak wajar, menghina, memperlekeh dan sebagainya. Langsung tidak ada perbahasan terhadap ibarat, permisalan, peringatan atau nasihat yang beliau cuba utarakan. Malah, perkara sama juga digunakan ketika beliau menyampaikan syarahan atau huraian kitab dalam kuliah agamanya.

Berikut antara perumpamaan digunakan beliau mengenai anjing di dalam ucapan dan tulisannya:

“Dalam hal ini, PAS mengambil sikap untuk mengajak manusia secara damai. PAS tak mahu berkelahi. Malangnya ada orang yang nak ajak berkelahi, nak ajak berlawan. Biarlah, biar dia sahaja yang bersuara, kita bawa agenda kita. Biar anjing menyalak, serigala menyalak, kabilah berjalan terus sampai ke destinasi, matlamat yang dituju. Ini slogan yang kita bawa, salaklah dia nak salak pun. Saya terpaksa sebut perkataan salak ini sebab dia melawan hukum Tuhan. Kita akan terus bawa agenda ini, kita tidak akan berganjak,” ujar beliau mengulas penentangan pihak tertentu terhadap hudud dalam satu ucapan pada Jun 2015.

“Orang boleh kata kita macam anjing salak bukit sahaja. Ya macam anjing salak bukit. (Hakikatnya) anjing tak salak bukit, tapi anjing menyalak babi yang ada di bukit itu. Ini yang sebenarnya. Kita tak salak bukit. Tapi menyalak (menegur) kelemahan yang berlaku dan najis-najis yang memalitkan kita semua,” katanya menjawab bidasan pihak tertentu kepada PAS kononnya tidak serius mengkritik Umno-BN dalam ucapan pada September 2015.

“Kepada semua ahli PAS termasuk para pemimpin, khususnya yang menjadi Ahli Parlimen dan Adun supaya beristiqamah dengan cara Islam yang berpijak di atas landasannya dan jangan berlagak seperti keldai yang bertempik atau anjing gila yang menyalak dan menerkam mangsanya. Kewajipan kita ialah mengajak seluruh manusia dalam masyarakat majmuk supaya melakukan perubahan kepada Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh alam dan adil terhadap semua,” nasihatnya kepada ahli supaya tidak semberono menghadapi musuh politik dalam satu tulisan pada Oktober 2016.

“Saya tertarik dengan sekawan anjing dalam satu kampung yang berkelahi berebut tulang, mereka tidak menjemput anjing luar datang bersama, sebaliknya bersatu mengejar anjing luar yang datang menyertainya,” utaranya sebagai peringatan terhadap sikap pihak asing dalam satu tulisan pada Julai 2017.

Pun demikian, ramai lawan beliau tampil mencemuh dan mempertikainya dengan semua perumpamaan digunakan itu. Mereka seperti ‘anjing tersepit’ yang merasa sakit lalu menjelir dan menyalak di sana sini kerana keberangan.

Namun tragisnya dan kebetulan pula negara mengalami beberapa kes anjing gila, secara tiba-tiba seseorang politikus membuat pengakuan yang dibayangi sifat cengkaman dan kediktatoran. Atas ‘kultus’, gilaian dan pemasyhuran oleh para anggota pakatannya, tidak mustahil mereka memperakui ‘label’ diberi pada dirinya. Beliau dengan menggunakan satu perumpamaan, megah mengisytiharkan bahawa dirinya dengan kata-kata, “I’m Top Dog”. – HARAKAHDAILY 19/7/2017