Jangan ulangi daging kambing bercampur babi

SEKRETARIAT Suara Pengguna Prihatin Malaysia (SPPM) melahirkan rasa kesal dengan  tindakan pengimport produk dan  pengusaha tempatan daging sejuk beku yang rakus mengaut keuntungan sehingga tidak menghiraukan sensitiviti umat Islam dengan penemuan 4 kontena daging kambing bercampur daging babi di dalam kontena yang sama pada 16 Julai lalu.

Advertisement

SPPM mendesak agar siasatan dilakukan dengan teliti dan terperinci oleh pihak yang bertanggungjawab dan hukuman setimpal mesti dikenakan terhadap pengimport produk dan pengusaha tempatan yang cuai dan rakus mengaut keuntungan tanpa memikirkan sensitiviti majoriti pengguna Muslim di negara ini.

Menurut Presiden SPPM, Normala Sudirman tindakan itu adalah penting supaya menjadi pengajaran bagi peniaga yang lain agar kejadian seperti itu tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

Baru-baru ini, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang dilaporkan telah menyita 4 kontena berisi daging kambing bercampur daging babi dalam serbuan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Johor dipercayai dibawa masuk dari Sepanyol.

Bekalan daging anggaran 120 tan bernilai kira -kira RM2 juta yang dirampas dalam satu serbuan sekitar jam 1 tengahari, bukanlah jumlah yang sedikit.

“Persoalannya, berapa ramai lagikah pengguna muslim yang telah membeli daging akan menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab ini?

“Dilaporkan sebanyak 74 kontena telah terlepas sebelum ini dan pendedahan ini cukup mengguris hati dan menimbulkan keresahan pengguna Muslim di Malaysia.

“Melalui pemeriksaan awal, MAQIS menemui 160 kotak daging babi disusun secara bercampur dengan 1,142 kotak daging kambing dalam kontena pertama, selain kira-kira 30 tan daging kambing pada kontena kedua dan ketiga,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau yang juga Setiausaha Lajnah Pengguna dan Pekerja PAS Pusat,  peniaga harus sedar bahawa isu produk makanan halal atau haram bagi umat Islam di negara ini harus diperhalusi dan tiada kompromi dalam memastikan setiap produk perlu memenuhi piawaian tertentu.

Ianya, tambah beliau bagi memastikan hak pengguna muslim terjamin dan tidak menimbulkan keresahan serta keraguan umat Islam di Malaysia kerana majoriti penduduk negara ini adalah beragama Islam.

“Kami merakamkan ucapan tahniah kepada pihak MAQIS atas penemuan dan rampasan terhadap 4 kontena daging kambing bercampur daging  babi.

“Sekurang-kurangnya pendedahan ini akan menyebabkan semua pengguna di Malaysia berwaspada dan meninggalkan makanan yang meragukan dan tidak membeli sesuatu produk yang menimbulkan  perasaan was-was,” kata beliau.

Justeru, beliau menasihati pengguna muslim meninggalkan apa yang menjadi keraguan dan apa yang menimbulkan perasaan was-was, selain bertenang dengan pendedahan isu itu serta serahkan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya agar insiden seperti itu tidak akan berulang lagi. – HARAKAHDAILY 19/7/2017