Kesal punca banjir lumpur di Bayan Baru belum ditangani

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal punca kejadian banjir lumpur yang kerap berlaku di kawasan Bayan Baru masih belum ditangani dengan berkesan oleh kerajaan negeri ini.

Advertisement

Walau pun masalah tersebut telah beberapa kali disuarakan oleh CAP sejak 10 tahun yang lalu namun ia masih berlaku hingga sekarang dan menjejaskan aktiviti penduduk-penduduk di kawasan berkenaan dan para pengguna jalan di sini setiap kali kejadian itu berlaku.

Mengulas kejadian terbaru minggu lalu ( 14 Julai 2017 ), CAP berharap kerajaan Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyiasat masalah tersebut dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

Berikutan banjir lumpur tersebut ribuan pengguna jalan di sekitar Bayan Baru terkandas perjalanan mereka ke tempat kerja kerana beberapa tempat ditenggelami air berlumpur ketika hujan lebat menjelang pagi.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati selain sisa lumpur yang terdampar di atas jalan raya di bandar itu, sampah- sarap turut kelihatan bersepah di beberapa lokasi berhampiran premis perniagaan di sini.

CAP kesal dengan kejadian tersebut kerana ia bukan saja menyusahkan orang ramai tetapi juga mencemarkan kawasan persekitaran di sini oleh sisa kotoran yang menjijikan. Kemungkinan punca berlakunya masalah ini dari tapak projek pembangunan atau dari dalam longkang yang tidak dibersihkan.

CAP meminta kerajaan negeri dan MBPP menjalankan kajian secara terperinci apakah punca utama yang menyebabkan kejadian banjir lumpur kerap berlaku di kawasan ini dan mendedahkan hasil kajian tersebut kepada umum termasuk tindakan yang diambil supaya kejadian serupa tidak berulang.

CAP bimbang jika masalah tersebut berlarutan sistem saliran,sungai dan perairan Pulau Pinang akan diancam mendapan lumpur dan sampah sarap dengan lebih serius sekaligus memburukkan lagi keadaan ini pada masa akan datang.

S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden CAP