Menteri sokong Ijtimak Perpaduan Ummah

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah yang akan diadakan di sini bermula esok begitu baik.

Advertisement

Beliau berkata program berkenaan bukan untuk kebaikan ummah semata-mata, sebaliknya memberi kesan positif kepada kerajaan Malaysia.

“Saya mengalu-alukan usaha murni ini di setiap negeri. Terima kasih saya ucapkan khususnya Kelantan yang akan menjadi tuan rumah.

“Kita berharap apa yang diusahakan itu, sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri akan mencantum umat Islam seluruhnya,” kata beliau selepas mengunjungi hormat Menteri Besar di Kota Darulnaim hari ini.

Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia akan berlangsung di Kota Bharu bermula esok sehingga Sabtu ini.

Pada kunjungan itu Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob menerima penyerahan Piala Sukan Sekolah-sekolah Agama Malaysia (Kessuma).

Turut hadir pada pertemuan itu Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota Exco, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha.

Jamil Khir berkata, sebagai seorang Muslim semua pihak perlu bertanggungjawab dalam menyatukan ummah tanpa mengira fahaman politik. – HARAKAHDAILY 19/7/2017