Solat hajat mula letak kerja ijtimak

AURA Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia semakin terasa apabila gerak kerja dimulakan dengan solat hajat diimamkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Advertisement

Solat hajat diadakan di Kelantan Trade Centre (KTC) selepas solat Isya malam tadi. KTC akan berlangsung perasmian serentak seminar dakwah dan nadwah ulama antarabangsa pada petang Jumaat dan pagi Sabtu ini.

Hadir sama Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pelaksana ijtimak tersebut, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail serta anggota jawatankuasa induk dan pelaksana.

Program tersebut bermula dengan solat Maghrib yang diimamkan Penyelia Dun Kok Lanas, Ustaz Nik Mahadi Nik Mahmood. Mesyuarat jawatankuasa pelaksana juga diadakan yang dipengerusikan Takiyuddin.

Manakala pagi tadi lawatan ke tapak ijtimak di Stadium Sultan Muhammad Ke IV diadakan.

Di dalam stadium akan berlangsung acara kemuncak pada petang Sabtu dengan dimulakan slot santai bersama Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Dusuki dan PU Akram.

Selepas itu solat Maghrib diikuti solat hajat, munajat dan Isya di padang stadium.

Pada jam 9 malam bermula pidato tokoh Islam dunia termasuk Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, setiausaha agung kesatuan terbabit, Syaikh Prof Dr Ali Muhyiddin Ali Qurrah Daghi dan wakil Hamas, Osama Hamdan.  

Sebelum itu pada sebelah pagi pentas muslimat mengisi ruang di Dataran Stadium bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Antara acara menarik yang akan diadakan termasuk pertandingan lego, bacaan al Quran, persembahan nasyid Pasti, pantun seloka, teka siapa saya, sajak.

Selain itu bual bicara bersama Fynn Jamal, Bicara Wanita menampilkan anggota parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan berakhir dengan amanat Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh.

Sementara itu persiapan lokasi tempat berlangsung ijtimak sedang giat dijalankan termasuk di Dataran Stadium, bahagian dalam stadium, dewan utama Kelantan Trade Centre, Dewan Jubli Perak MPKB, Hotel Perdana dan Dewan Teratai, Kota Darulnaim.

Poster, banner dan risalah mengenai ijtimak boleh dilihat di mana-mana di bandar Kota Bharu.

Manakala bendera negara-negara peserta dipasang bermula berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sehingga ke Simpang Tiga Pengkalan Chepa. – HARAKAHDAILY 19/7/2017

IJTIMA