Ijtimak: Jabatan Amal kerah lebih 600 anggota

JABATAN Amal Malaysia menghantar seramai 600 anggota bagi membantu melancarkan perjalanan Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia yang berlangsung di Kota Bharu mulai hari ini.

Advertisement

Ketua Pengarahnya, Mohd Nazree Mohd Aris berkata, jumlah berkenaan bagaimanapun dijangka meningkat menjelang esok.

“Semua Jabatan Amal peringkat negeri kecuali Sarawak menghantar wakil untuk bertugas di ijtimak. Mereka termasuk 20 doktor dari Amal Medik.

“Anggota perubatan ditugas membuat rawatan segera orang ramai yang sakit sebelum dihantar ke hospital berdekatan,” katanya di sini.

Jabatan Amal turut menyediakan dua ambulan untuk melicinkan tugasan ketika berlaku kecemasan.

Beliau juga berkata, sebahagian besar anggota ditugas membantu melicinkan perjalanan trafik bermula jam 7 pagi sehingga 12 malam secara tiga shif di sekitar ijtimak berlangsung.

Manakala Jabatan Amal Kelantan pula menyediakan 150 anggota yang datang dari seluruh kawasan di negeri tersebut.

Pengarahnya, Nik Asmawi Abdullah berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis dan anggota pengkuat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya (MPKB-BRI) bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar.

“Selain itu kami turut bertugas menjaga keselamatan ijtimak di samping mengiringi pemimpin dan tetamu luar negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/7/2017