Konvoi anak muda mulakan acara ijtimak

IJTIMAK Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia kali ke-4 bermula petang ini dengan konvoi anak-anak muda dari JKR 10 di Kampung Sireh ke Dataran Stadium.

Advertisement

Mereka datang daripada pelbagai tempat di Kelantan bagi memberi sokongan penuh terhadap program berkenaan.

Penolong Setiausaha III Pemuda PAS Malaysia, Mohd Afif Rabbani Abdullah berkata, program tersebut merupakan sebahagian aktiviti untuk anak muda sempena ijtimak di Kota Bharu.

Selain konvoi katanya, anak muda juga mengikuti pelbagai aktiviti lain yang diadakan.

“Konvoi ini merupakan sebahagian aktiviti anak muda, berkonvoi melalui hadapan Kota Darulnaim sehingga ke perkarangan stadium,” katanya.

Anak-anak muda yang berkumpul di JKR 10 sebelum itu mendaftarkan diri bagi mendapatkan kupon menukar minyak hitam percuma dan kad cabutan bertuah.

Khidmat menukar minyak hitam hanya terhad kepada 200 peserta terawal. Cabutan bertuah pula terbuka kepada semua peserta yang terlibat. Mereka juga diberi sehelai baju berwarna putih dan hijau, tema ijtimak.

Sebelum konvoi bertolak ke Dataran Stadium mereka menunaikan solat Asar yang diimamkan pegawai Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes), Ustaz Muhd Kamal Mohamad.

Konvoi tersebut diketuai kumpulan Alternative Riding Club (ARC) Kelantan, Sazali Mohd Yassin. Pelepasan konvoi dilakukan Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Arif Abdullah.

Manakala di stadium, Dewan Pemuda PAS Kelantan menyediakan khemah bagi mengadakan pelbagai acara termasuk program tukar minyak hitam dan taujihat kepimpinan pemuda.

Sukarelawan pula berkumpul sebelum memulakan tugas. Sebelum itu mereka mendengar taklimat disampaikan Setiausaha Jawatankuasa Sukarelawan dan Kutipan Derma, Ustaz Nasruddin Mahmud Muhaidin.

Petang ini juga diadakan raptai penuh di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre disampaikan Setiausaha Jabatan Amal Malaysia, Mohamad Razali. Di dewan tersebut juga dipasang bendera 27 negara yang menyertai ijtimak terbabit. – HARAKAHDAILY 20/7/2017