PAS Sabah desak batal kontrak dengan Syarikat Pentagon

PAS Sabah menggesa pihak kerajaan agar menghentikan serta merta   perkhidmatan Syarikat Pentagon (Syarikat C3 Power (M)  Sdn Bhd) yang menguruskan bekalan ekektrik secara kontrak kepada tiga kampung di Sandakan.

Advertisement

Ini ekoran kegagalan pihak tersebut memberikan perkhidmatan bekalan elektrik kepada tiga buah kampung berkenaan iaitu Kampung Bakau, Kampung Sundang dan Kamping Forest yang melibatkan kira-kira 10,000 penduduk.

Penduduk kampung terbabit terpaksa bergelap sejak kira-kira seminggu yang lalu dan kini sudah masuk minggu ke dua.

“Kita minta pihak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat ini kerana gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya.”

Demikian tegas Sahar Abdul Majid, Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sabah selepas menziarahi penduduk kampung yang terjejas kerana terputus bekalan elektrik baru-baru ini.

Difahamkan pengguna sudah melangsaikan semua bil elektrik kepada Syarikat Pentagon tetapi pihak syarikat tidak membayar bayaran yang sepatutnya kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan ini menyebabkan bekalan elektrik diputuskan.

Katanya, insiden seperti ini amat memeritkan rakyat kerana mereka yang terbabit bukan sahaja terpaksa berpanas dan bergelap bahkan banyak aktiviti harian penduduk juga terjejas kerananya.

“Bukan itu sahaja, Syarikat Petagon juga dilihat gagal menguruskan sistem pendawaian yang selamat apabila pendawaian dibuat dengan kaedah yang berbahaya yang boleh mengakibatkan litar pintas dan kebakaran berlaku,” tambahnya.

Menurutnya lagi, kerajaan perlu bertegas dengan mengarahkan SESB mengambil alih sepenuhnya urusan elektrik ini dan membekalkannya kepada penduduk kampung serta menamatkan kontrak dengan Syarikat Pentagon.

“Kampung sekitarnya seperti Kampung Istimewa menerima bekalan elektrik terus daripada SESB, tetapi kenapa tidak tiga kampung ini sedangkan majoriti penduduk adalah warganegara, mengundi di Dun Sekong dan Parlimen Batu Sapi,” soal Sahar.

Sahar turut menyarankan kepada SESB dan kerajaan untuk bersimpati kepada rakyat dengan menyediakan bekalan elektrik sementara melalui generator agar penduduk tidak terus bergelap sementara menunggu urusan dengan Syarikat Pentagon diselesaikan.

“Yang menjadi keutamaan ketika ini ialah penduduk harus mendapat bekalan elektrik dengan segera,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 20/7/2017