Pertahankan Islam tanggungjawab semua

PENGANJURAN Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-4 di Kota Bharu Kelantan membuktikan bahawa penyatuan umat Islam dalam memastikan Islam terus dipertahankan daripada pelbagai ancaman yang telah dirancang oleh musuh-musuh Islam.

Advertisement

Sejarah lalu berjaya membuktikan apabila umat Islam bersatu berjuang di atas paksi dan akidah yang sama lantas sistem pentadbiran Islam berunsurkan keadilan serta landasan syara’ telah memberikan keamanan sehingga tidak wujud golongan tertindas.

Namun peta luka umat Islam mula terzahir tatkala jatuhnya khilafah pada tahun 1924 sehingga kini maruah umat Islam lama kelamaan menjadi boneka serta hilang identiti kekuatan Islam sebenar.

Umat Islam perlu bersama dalam usaha menjadi benteng barisan hadapan apabila Islam dipijak dan dihina tanpa mengira latar belakang budaya, sosio ekonomi, kedudukan geografi kerana ketika kita bersimpuh berdoa memohon bantuan serta pertolongan kita berkiblat kiblat yang sama.

Justeru penganjuran kali ini dengan penyertaan pelbagai negara memberikan isyarat awal , umat Islam perlu sedar betapa mereka adalah sebahagian daripada watak utama dalam memastikan kemenangan Islam lantas membawa panji-panji Islam seantero dunia.

Kejernihan Islam perlu ditampilkan, kekeruhan budaya barat wajib dilenyapkan, kekuatan Islam harus diperkasakan, musuh-musuh Islam perlu dihindarkan, kesucian Islam wajar dipamerkan, kekotoran jahiliyah terus dihapuskan nescaya kita mampu melihat generasi akan datang menikmati Islam sebaiknya.

Ayuh nyatakan solidariti perpaduan ummah dengan sama-sama hadir pada malam kemuncak serta bantahan terhadap tindakan Israel yang menghalang Solat Jumaat di Masjid Aqsa. Jika bukan kita siapa lagi, jika bukan sekarag bila lagi.

RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Perak
20 Julai 2017M  l 26 Syawal 1438H – HARAKAHDAILY 20/7/2017