Ijtimak Antarabangsa berwarna warni di tengah kemelut umat Islam sejagat

ij2

Bandaraya Kota Bharu mendepang tangan dengan senyuman terukir, menyambut ribuan umat Islam yang berhimpun sempena Ijtimak Antarabangsa kali keempat. Kelantan semenjak 1959 telah menjadi kubu PAS di negeri jantung orang Melayu ini dengan menyaksikan kemenangan bergaya PAS dan seterusnya membentuk arus kesedaran Islam.

Advertisement

Kelantan dengan karektornya sebagai negeri berbudaya, sarat dengan kesenian tradisional dan kesedaran beragama mengakar teguh dengan jaringan sekolah pondok. Kelantan kaya dengan pergumpalan ilmu dan idea, malah medan perdebatan kaum tua dan kaum muda pada awal abad ke 20. Tanah serendah sekebun bunga ini juga terselit manusia gedebe yang mudah bertetak dan menumpahkan darah atas alasan yang remeh. Sebahagian anak muda membesar di gelanggang silat dan tomoi, mengacuankan mereka sebagai anak muda yang berani mempertahankan prinsip dan maruah diri.

PAS mengalami pasang surut dalam perjuangan, antaranya telah kehilangan pangkalan kuasanya ini pada tahun 1978. Para leluhur PAS Kelantan telah membina kembali kekuatan di negeri ini sehingga berjaya merengkuh kembali Kelantan pada tahun 1990. Fasa kedua pemerintahan PAS di Kelantan telah menyaksikan PAS sebagai gerakan Islam lebih berenergi  dalam menterjemaahkan Islam sebagai cara hidup dengan tema kerajaan ini “Membangun Bersam Islam”.

Kelantan dalam tempoh 27 tahun mengalami kepungan “Ahzab Moden” yang sangat rakus, dikucilkan daripada arus pembangunan nasional, ditekan dengan sistematik dan mengalami perlecehan yang jelek oleh musuh-musuh Islam. Serambi Mekah ini terus memicu perubahan dan memancing pesona masyarakat dan rakyat negara ini, Kelantan menjadi guru perubahan dan juga universiti terbuka.

Tak mampu untuk tulisan ringkas ini untuk meninta semua pembaharuan yang dilaksanakan oleh Kelantan selama 27 tahun ini, dengan titisan keringat dan airmata para leluhur daripada PAS. Sebahagian mereka telah meninggalkan alam yang fana ini, namun keberhasilan ini cuba diruntuhkan oleh kelompok pecundang yang semakin nanar. Kelompok kecil yang ditaja oleh musuh Islam, dengan ketamakan mereka pada mandraguna kuasa seolah tiada kamus dosa dan pahala.

Ijtimak Antarabangsa peringkat Asia ini dengan sengaja memilih Kelantan sebagai tuan rumah program sebagai usaha memugar semangat rakyat negeri ini untuk mempertahankan kerajaan Islam ini. Malah inilah satu-satunya negeri yang hampir tiga dekad diperintah oleh gerakan Islam.

Himpunan yang dihadiri oleh ribuan peserta serta pimpinan pelbagai gerakan Islam antarabangsa ini juga memerah idea dan solusi untuk membina kekuatan dan jaringan gerakan Islam. Melumat dan berbincang tentang nasib perih umat Islam di seluruh peta umat Islam, Palestin, Syria, Rohingya dan lain-lain.

Ijtimak yang bukan sekadar medan memintal ukhuwwah namun wahana mengasah kesedaran menyintai ummah. Sebahagian peserta Ijtimak juga akan mengadakan bantahan awam pada hari Jumaat, 21 Julai di Dataran Muhammadi bagi memprotes kebiadapan rejim zionis terhadap Masjidil Aqsa serta menyokong kebangkitan umat Islam Palestin.

Semoga ijtimak yang dikenali juga Ijtimak Kelantan ini menjadi pemicu kebangkitan gerakan Islam di seluruh Asia bagi mendepani ancaman ahzab moden dan seterusnya menjulang deenullah tercinta ini.

ij3

ij5

ij6

 (Foto daripada fb Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah)