Persembahan kesenian dapat sambutan hangat

ARTIS hijrah dari Indonesia, Derry Sulaiman melahirkan rasa syukur kerana dijemput Kerajaan Kelantan membuat persembahan di Kota Bharu.

Advertisement

Katanya, beliau tidak menduga kerajaan negeri bersedia untuk menjemputnya setelah dua tahun lalu berkunjung ke negeri itu.

“Saya pernah membuat persembahan di sini dua tahun lalu atas undangan Irwan Syahman.

“Mungkin bermula dari situ saya mula dikenali di sini, Alhamdulillah,” ujarnya ketika ditemui.

Derry tidak akan menolak sekiranya kerajaan negeri ingin menjemputnya pada masa akan datang untuk membuat persembahan.

Derry berjaya menarik perhatian penonton dengan lagu-lagu dakwahnya.

Lagu tersohornya yang bertajuk Dunia Sementara Akhirat Selamanya dan Rasulullah menarik perhatian ramai.

Bekas penyanyi kumpulan metal rock Indonesia itu menjadi perhatian pengunjung Ijtima Kelantan 2017 di Dataran Stadium, di sini petang tadi.

Program itu diadakan sempena Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-4 di Kota Bharu.

Derry yang sekali sekala membuat joke telah menarik perhatian membuatkan program sentiasa segar dengan sentuhan suara lunaknya.

Beliau ditemani pengacara majlis Muhammad Cina yang turut berduet mendendangkan lagu-lagu berkenaan.

Bukan setakat menyumbang dua lagu beliau turut menyampaikan takzirah.

“Betapa pentingnya menjaga iman untuk mendapat anugerah dari Allah.

“Iman dan taqwa perlu dijaga sentiasa kerana sekiranya ia pergi, belum tentu akan hadir lagi,” ujarnya.

Terdahulu dua persembahan pantomim Rohingya dan Jihad Putera Jeram berjaya menyentuh hati penonton.

Walaupun ia kisah berlainan, namun keduanya mempunyai hasrat yang sama iaitu mempertahankan aqidah.

Persembahan anak-anak pelarian Rohingya dari Maahad Tahfiz Ar Rahman Baiturahmah, Alor Setar Kedah benar-benar menguris hati penonton.
 
Kanak-kanak itu diuruskan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
 
Jihad Putera Jeram dipersembahkan oleh anggota Majlis Daerah Pasir Putih dengan kerjasama Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri. – HARAKAHDAILY 21/7/2017

tokjanggut