Bisa tulisan Pak Subky tak luntur

KESEMPATAN berbual dengan Tuan Haji Subky Latif yang mesra dipanggil Pak Subky pada malam ini adalah detik paling berharga bagi saya sepanjang 3 hari program IjtimaK Antarabangsa Perpaduan Ummah berlangsung.

Advertisement

Otai dan sifu saya dalam bidang penulisan politik. Saya secara tak langsung berguru dengan Pak Subky dalam keadaan beliau tak mengenali saya secara dekat. Tak apa kerana yang penting saya kenal Pak Subky.

Kolum beliau dalam Akhbar HARAKAH ‘Min Aina Ila Aina’ suatu ketika dulu adalah favourite saya. Saya kagum dengan ulasan santai, tajam menikam, bahasa yang mudah dan sindiran yang tepat mengena ke sasaran.

Pak Subky tanya dengan ramah, “Anak ni nama siapa? Minta maaflah saya ni orang tua dah tak berapa kenal orang.”

“Allah… saya nak perkenal diri pun segan. Saya bukanlah siapa-siapa. Nama orang panggil Dr Azman.”

“Ooo… saya selalu baca tulisan dalam HARAKAH. Duk tanya juga siapa Dr Azman ni,” Kata Pak Subky sambil mengenggam erat tangan saya.

“Tulisan biasa-biasa saja Pak Subky. Jauh sangat lagi kalau nak duduk dekat dengan Pak Subky.”

“Teruskan menulis untuk Islam!” Kata Pak Subky. Suatu pesanan yang insya Allah akan saya pegang kemas-kemas.

“Anak sekarang apa jawatan dalam parti?”

“Baru saja nak belajar jadi AJK PAS Pusat.”

Sekali lagi Pak Subky pegang kemas tangan saya.

“Tahniah! Saya akhir sekali jadi AJK PAS Pusat tahun 2006. Sekarang dah uzur…”

Bila saya imbas kembali memori Pak Subky pernah datang melawat ke Baghdad pada tahun 1995 ketika saya masih belajar di sana, bersama Almarhum Dato’ Fadzil Noor, Almarhum Ustaz Hassan Shukri, Dato’ Mustafa Ali dan Dato’ Muhamad Daud Iraqi, Pak Subky masih ingat memori lawatan tersebut.

Walau dalam keuzuran, bisa tulisan Pak Subky tak luntur. Penanya terus gagah mencoret dan mengulas isu. Daya pemikiran dan seni tari penulisan ‘orang tua ini’ masih tiada tandingan.

Andai ditakdirkan Pak Subky pergi dulu sebelum saya, biarlah dengan penuh kekurangan, saya bertekad untuk meneruskan jihad penulisan yang diperjuangkan Pak Subky sebegitu lama. Semoga Allah mengurniakan kekuatan kepada hamba yang lemah ini.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
22 Julai 2017