Cabaran gerakan dakwah di negara Islam minoriti

SEMINAR dakwah antarabangsa sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah yang diadakan di Hotel Perdana di sini disifatkan sebagai batu lonjatan bagi menjadikan gerak kerja dakwah ke arah lebih baik.

Advertisement

Ketua bengkel dan resolusi program, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, umat Islam di Malaysia bernasib baik kerana usaha tersebut mendapat perhatian kerajaan.

Bagaimanapun berlainan di negara-negara minoriti Islam seperti Thailand, Jepun dan Korea di mana mereka terpaksa mencari dana sendiri untuk meneruskan kerja dakwah.

“Hal ini disebabkan kerajaan mereka tidak membantu. Sepatutnya kita bersyukur kerana boleh bantu negara lain dengan dana yang kita ada.

“Lebih khusus lagi, kita ada Kelantan kerana sebuah gerakan dakwah dan politik mempunyai kerajaan sendiri,” katanya ketika ditemui di sini tadi.

Seminar dakwah antarabangsa itu menampilkan 11 pembentang seluruh rantau bagi berkongsi pengalaman, aktiviti dan cabaran dakwah di negara masing-masing.

Mereka termasuk Mufti Kemboja, Okhna Kamaruddin; wakil Thailand, Ali Arif Omati; wakil Jepun, Ahmad Meano; wakil Korea, Salahudin Kim dan wakil Sudan, Dr Adam Salleh.

Wakil Nepal, Erfan Takaran; wakil Singapura, Islahudin; wakil Timur Leste, Abdullah Saqran; Zumaat Ahmad mewakili Indonesia, Nurul Amin dari Bangladesh dan Nurul Huda Irda Abdullah Malaysia.

Lapan bengkel diadakan secara serentak bagi membicarakan tajuk seperti ‘The important of integration in dakwah’ oleh Dato’ Dr. Ghafur Abdul Hamid.

‘The relevancy of R&D in dakwah moving forward’ oleh Dato’ Dr. Abdul Razak Kecik dan ‘Maintaining database: it benefits in dakwah world‘ oleh Dr Tg Damitri.

Prof Ir. Abang Abdullah pula membentang tajuk ‘Responsibility forward constitution of the authority in dakwah’ dan ‘Dakwah for all: opportunity and challenge’ oleh Prof Dr Kamaruzzaman.

Wakil Jepun, Ahmad Meano turut membentang dalam bengkel itu tajuk ‘Tekno dakwah: the new strategies’ dan ‘Key success factors in reaching out to non muslim guiding the new reverts’ oleh Shah Kirit.

Serta ‘The role of women in dakwah’ oleh Dr. Sakinah Salleh. – HARAKAHDAILY 22/7/2017