Pembawa panji Islam dituntut faqih, tenang hadapi kejahilan ummat

FIRMAN Allah SWT dalam surah al Furqan ayat 63:

Advertisement

وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.”

1. Sebagai hamba Allah yang berusaha melaksanakan Islam dalam kehidupan dan berjuang menegakkannya di atas muka bumi disaran agar bersikap tenang dan optimis dengan peluang dan harapan terhadap Islam.

2. Kendatipun mereka berdepan dengan tohmahan, fitnah, konspirasi, serta Islamophobia yang ditimbulkan oleh pihak musuh yang sentiasa bergerak dan merancang tanpa henti terhadap Islam. Hamba Allah tetap bersabar, tenang dan tidak gelabah ketika menghadapi situasi kejahilan ummat.

3. Antara kekangan dalam usaha memartabatkan Islam ialah kejahilan. Kejahilan menjadi faktor permusuhan dan penolakan mereka kepada Islam. Kejahilan di sana ada yang boleh diubati dan ada yang tidak mampu diubati oleh kita. Seperti doktor yang merawat pesakit, sebahagiannya mampu dirawat dan ada yang sebaliknya.

4. Ada kejahilan yang kita terpaksa menolaknya dan kita tidak melayan karenah mereka yang bukan sahaja jahil malah membenci dengan apa sahaja berkaitan Islam sekalipun kita mengemukakan jawapan namun mereka tetap tidak berpuas hati, dengki dan berdendam.

5. Kejahilan yang mampu dirawat ialah sekiranya orang yang jahil mendahagakan penjelasan dan ilmu serta berharap jawapan yang mampu mencerahkan mindanya yang terbuntu dengan permasalahan. Kejahilan seperti ini wajib diubati dan dibimbing sebagai tanggungjawab kita kepada agama Islam yang membawa rahmat ke seluruh alam.

6. Kejahilan ummat tidak hanya berkenaan ilmu ibadah, muamalat dan seumpamanya. Malah mereka juga jauh ketinggalan dan jahil berkenaan ilmu dan fiqh dakwah, fiqh politik dan fiqh jihad. Para ulamak juga disaran memiliki ilmu ini dalam berdepan isu semasa dan permasalahan rakyat dan ummat.

7. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia dalam ucapan perasmiannya di Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia di Kota Bharu menyeru para ulamak pada masa kini tidak hanya mampu bijak dan pandai berbicara persoalan hukum ibadah dan munakahat atau seumpamanya.

8. Hakikat ilmu-ilmu ini sudah digali sedalam-dalamnya oleh generasi ilmuan dan cendiakawan generasi terdahulu. Ulama pada masa kini perlu menghayati dan meneroka ilmu Islam sebagai Ad Deen yaitu merangkumi ilmu pemerintahan, cara hidup di pelbagai lapangan dan ilmu akhirat. Iaitu Fiqh Jihad, Fiqh Siyasah dan Fiqh Dakwah.
Itulah maksud ajaran dan ilmu Ad Deen Al Islam.

9. Maka, diseru kepada semua pejuang dan pemegang panji Islam untuk memperkemas dan mempersiapkan diri dengan ilmu dan kefaqehan agar dapat kita harungi pada zaman fitnah kejahilan ummat pada masa kini.

Sejahtera Bersama Islam

Penulis adalah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
21 Julai 2017 / 27 Syawwal 1438H
Ditulis ketika berada pekarangan Stadium Kota Bharu
Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia.