Rebut peluang hadiri hari terakhir ijtimak

ORANG ramai disaran menghadiri Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah yang sedang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V memandangkan ia merupakan hari terakhir.

Advertisement

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pelbagai program menarik menanti orang ramai hari ini.

“Pada sebelah pagi berlangsung persidangan dan nadwah ulama di KTC dan Hotel Perdana, manakala muslimat pula mengadakan program santai,” katanya pada Konsert Kesenian Islam di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-1V malam tadi.

Manakala petang ini pula berlangsung persembahan kesenian di Dataran Stadium bermula jam 3 petang dengan menampilkan Kumpulan Hijaz.

“Santai Ustaz Ahmad Dasuki dan PU Akrami pula akan berlangsung jam 5 petang ini dalam stadium.

“Pada malamnya program kemuncak pidato perdana, ucapan perdana gerakan Islam,” katanya.

Beliau juga berkata kehadiran orang ramai dapat memberi gambaran terhadap sokongan rakyat kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama sekarang.  

Katanya usaha itu begitu penting ketika ada pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan.

Sementara itu, hampir 10,000 menghadiri program kesenian malam tadi.

Persembahan artis Derry Sulaiman menarik perhatian orang ramai apabila mengajak masyarakat beriman hanya kepada Allah.

Selain itu Kumpulan Soutul Amal, Kumpulan Wadi El-Jadi dan jemputan kumpulan nasyid dari Thailand, The Four A.

Penampilan dua beradik yang mengacarakan majlis itu Afnan Hamimi dan PU Akram Taib Azamuddin menambahkan seri majlis tersebut. Jenaka mereka yang bersahaja membuatkan penonton tidak kering gusi.  

Turut berucap pada majlis itu Pengarah Urusetia Belia dan Sukan Negeri, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. – HARAKAHDAILY 22/7/2017