Peneroka Felda dibantu, penoreh terbiar

DALAM aspek tanggungjawab kerajaan yang telah mendapat manfaat besar daripada sektor sawit dan getah sejak penubuhan Felda pada 1956, Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS (LATAS) merakamkan terima kasih di atas pengumuman Perdana Menteri bagi meringankan beban kewangan, perumahan dan pelupusan sebahagian hutang 95,000 peneroka Felda.

Advertisement

LATAS berharap ia segera dilaksanakan, walaupun  disedari bahawa ia adalah sebahagian daripada inisiatif berkaitan pilihan raya yang semakin hampir.

Sejak beberapa tahun lepas, PAS telah mendesak kerajaan mewujudkan mekanisme harga lantai getah beku di ladang (farmgate price) pada kadar RM4 sekilogram, bagi mengimbangi beban kos hidup penoreh dan pekebun kecil.

Namun ia tidak dilaksanakan, malahan skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang diluluskan dalam belanjawan negara juga tidak dilaksanakan. Sebaliknya kerajaan terus memilih bantuan secara one-off (3 kali) sejak 5 tahun lalu, dengan motif yang berlegar tentang politik dan pilihan raya.

Untuk rekod, Malaysia menghasilkan 670,000 tan getah asli pada 2016, berbanding 720,000 tan pada 2015. Kekal di tangga ke-5 pengeluar getah asli dunia.

Nilai eksport getah dan produk berasaskan getah melepasi paras RM18 bilion pada 2016.

Sebanyak 92 peratus getah asli dihasilkan oleh pekebun kecil di luar bandar yang menerima pendapatan RM2.70 sekilogram pada hari ini.

Berdasarkan rekod agensi kerajaan, terdapat 590,000 ketua keluarga bekerja sebagai penoreh getah, 307,770 orang daripada angka ini memiliki kebun kurang 2.5 hektar (8.6 relong) dan 101,889 penoreh memiliki kebun melebihi 2.5 hektar. Sejumlah 80,341 orang lagi tidak memiliki kebuh getah, mengambil upah menoreh di kebun orang lain.

Pada harga pasaran antara RM2.40 hingga RM2.80 sekilogram di ladang pada waktu ini, kerajaan hanya perlu sediakan dana khas RM1.20 – RM1.60 setiap kilo bagi menstabilkan getah pada harga lantai RM4.00.

Pada kadar keluaran tahunan 670,000 tan (670 juta kilogram), kerajaan hanya perlukan peruntukkan RM804 juta hingga RM1.07 bilion setahun untuk manfaat 590,000 keluarga penoreh seluruh negara.

Berbanding jumlah peneroka Felda (94,596 orang) yang menerima manfaat berjumlah RM3.8 bilion, jumlah penoreh dan pekebun kecil jauh (590,000) jauh lebih besar dan peruntukan yang diperlukan lebih rendah.

Kos untuk mewujudkan mekanisme harga lantai RM4.00 sekilogram itu lebih rendah jika dibandingkan peruntukan hangus kepada peneroka yang diumumkan semalam berjumlah RM993.7 juta (RM474 juta bantuan khas dan RM519 juta untuk bantuan tanaman semula).

Dengan demikian, LATAS berharap pihak kerajaan dapat melaksanakan mekanisme harga lantai getah di ladang supaya seluruh rakyat negara ini mendapat layanan yang adil dan saksama.

Kestabilan harga getah pada harga RM4 sekilogram akan turut meransang pertumbuhan dan membantu banyak kegiatan ekonomi di luar bandar. Ia dapat dilihat dengan jelas pada bulan Januari tahun ini apabila harga pasaran getah di ladang mencecah RM4.40 sekilogram. Kelegaan sementara itu sedikit sebanyak turut meningkatkan indeks kebahagiaan rumahtangga penoreh di negara ini.

Adalah munasabah jika dikatakan bantuan kepada peneroka yang diumumkan oleh PM semalam adalah gula-gula pilihan raya untuk menjamin kerusi-kerusi BN di kawasan Felda, sekiranya kerajaan tidak mengumumkan sebarang insentif kepada 590,000 keluarga penoreh getah yang bertebaran di seluruh negara.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengerusi LATAS
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 24/7/2017