Penghijrahan keluar rakyat Kelantan: Mitos Mustapa Mohamed

fadhli s

SAYA membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Barisan Nasional Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed di dalam akhbar Sinar Harian hari ini halaman 36 yang menyatakan bahawa PAS Kelantan telah gagal bela rakyat dan menyebabkan sebahagian rakyat Kelantan berhijrah keluar mencari pekerjaan.

Advertisement

Pertamanya, tahniah wajar diucapkan kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed yang sekurang-kurangnya masih membuktikan bahawa UMNO Kelantan masih wujud di negeri ini. Setidak-tidaknya dalam serangan bertali arus dari parti baru seolah-olah menggambarkan bahawa UMNO sudah hilang tenggelam ghaib dalam lautan biru. Justeru, apabila sekali sekala pimpinan Barisan Nasiona dan UMNO khususnya melontarkan peluru, ia boleh mengingatkan rakyat bahawa rupa-rupanya masih ada lagi parti UMNO dan komponen Barisan Nasional bernafas di negeri ini.

Oleh kerana Mustapa Mohamed mengambil sudut kegagalan PAS dengan mendakwa bahawa ia penyebab ramai rakyat Kelantan keluar berhijrah, maka setidak-tidaknya beliau perlu merujuk kepada fakta dan angka. Apatah lagi sebagai seorang Menteri, sudah tentu beliau mempunyai akses terhadap maklumat-maklumat yang telah dikeluarkan oleh agensi-agensi kerajaan sendiri. Apatah lagi dengan kemudahan pegawai-pegawai yang ramai di sekeliling beliau, adalah tidak susah untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan benar barulah menyusun peluru dan senjata untuk menyerang.

Berhubung penghijrahan keluar rakyat Kelantan akibat kegagalan PAS mentadbir negeri, suka saya merujuk kepada Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia setiap tahun. Ia boleh didapati dengan percuma setelah mendaftar nama pengguna dan kata laluan yang disediakan oleh laman jabatan tersebut. Adalah mustahil pegawai-pegawai di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak boleh membantu menteri mereka untuk mendapatkan maklumat ini. Saya boleh menghulurkan bantuan jika perlu dengan sedikit bayaran ikhlas. Mari kita merujuk kepada laporan untuk enam tahun terakhir.

Sebelum itu, perlu diketahui bahawa migrasi terbahagi kepada tiga kategori iaitu migrasi dalaman (dari satu kawasan ke satu kawasan di dalam negeri yang sama), migrasi antara negeri dan migrasi antarabangsa. Saya percaya hanya migrasi antara negeri yang ‘valid’ dalam hujah Mustapa kerana asas perbandingannya ialah Kelantan sebagai negeri yang ditadbir oleh PAS dan negeri-negeri lain yang ditadbir oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Di dalam Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia 2011, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah negeri penghantar utama migrasi bagi tempoh 2010–2011. Penduduk yang berhijrah keluar kebanyakkannya menuju ke negeri jiran iaitu Selangor (34.4%). Selain itu, mereka juga memilih Kelantan (9.8%) dan Pulau Pinang (9.7%) sebagai negeri destinasi. Johor merupakan negeri penghantar kedua tertinggi. Aliran migran keluar bagi Johor adalah sama seperti W.P. Kuala Lumpur iaitu lebih tertumpu ke Selangor (37.4%). Selain Selangor, penduduk Johor juga memilih Melaka (10.8%) dan Perak (7.1%) sebagai negeri destinasi penghijrahan.

Di dalam Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia tahun 2012 iaitu tahun berikutnya, tiga negeri tersebut masih kekal sebagai negeri penghantar utama migran untuk tempoh 2011-2012 iaitu W.P. Kuala Lumpur, Johor dan Perak masing-masing mencatatkan migran bersih keluar sebanyak 11,200, 10,700 dan 7,900 orang. Manakala Selangor masih merupakan negeri destinasi utama migran dengan jumlah migran bersih sebanyak 22,400 orang, meningkat sebanyak 26.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Migran masuk bersih kedua tertinggi ialah Kelantan (8,100) diikuti Sarawak (7,100) dan Pulau Pinang (5,200) orang.

Di dalam Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia tahun 2013 pula untuk tempoh 2012-2013 pula, tiga negeri yang menjadi negeri penghantar migran utama dengan jumlah migran keluar bersih tertinggi dicatatkan oleh W.P. Kuala Lumpur (26,800 orang), Negeri Sembilan (9,200 orang) dan Perak (7,700 orang). Manakala tiga negeri yang mencatat penerimaan migran tertinggi ialah Selangor  sebagai negeri penerima migran utama dengan jumlah migran masuk bersih sebanyak 31,000 orang, diikuti Sabah sebanyak 6,500 orang dan Kelantan 4,400 orang.

Di dalam Laporan tahun berikutnya, Selangor telah mencatatkan pergerakan keluar migrasi tertinggi dengan 36,400 orang keluar dari negeri tersebut diikuti dengan Wilayah Persekutuan iaitu seramai 33,500 orang. Bagaimanapun, Selangor mencatatkan kemasukan migrasi lebih ramai berbanding migrasi keluar iaitu seramai 63,800 menjadikan jumlah migrasi bersih ialah seramai 27,400 orang.

Untuk tahun berikutnya iaitu di dalam Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia tahun 2015, Wilayah Persekutuan masih kekal sebagai negeri tertinggi penghantar migrasi dengan jumlah 32,300 orang untuk tempoh 2014-2015, diikuti dengan Perak seramai 6,200 orang dan Negeri Sembilan seramai 3,400 orang. Kelantan hampir mencatat sifar migrasi keluar dengan angka anggaran migrasi bersih hanya 500 orang keluar bagi tempoh tersebut.

Di dalam Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia tahun 2016 iaitu edisi yang terkini, Wilayah Persekutuan masih mencatatkan migrasi bersih dengan angka keluar tertinggi dengan angka 37,700 orang diikuti Perak seramai 9,800 orang dan Pahang seramai 3,200 orang. Manakala migrasi bersih Kelantan telah menjadi negeri penerima migrasi dengan angka 1,600 orang migrasi masuk berhijrah ke Kelantan.

Jelas sekali di dalam angka-angka di atas, Kelantan tidak pernah menjadi negeri pengeluar migrasi yang tertinggi bahkan tidak menduduki tempat tiga atau lima negeri tertinggi. Bahkan Kelantan pernah menjadi negeri penerima migrasi yang utama dan ia berlaku ketika negeri ini ditadbir oleh PAS. Justeru, adalah jelas sekali kenyataan Pengerusi Barisan Nasional negeri ini tidak berasas dan wajar ditolak sama sekali.

Adalah tidak dinafikan bahawa ramai rakyat Kelantan berada di luar negeri ini namun angkanya tidaklah jauh berbeza jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Kesungguhan rakyat Kelantan pulang ke kampung halaman setiap kali menjelang cuti sekolah juga menjadikan seolah-olah hanya rakyat negeri ini berada di luar negeri ditambah pula dengan dialek percakapan yang tidak diubah sekalipun berbelas tahun tidak berada di kampung halaman.

Realitinya, di Kelantan dengan harga rumah yang masih mampu dimiliki, rakyat di negeri lain berimpikan untuk tinggal dan menetap di sini. Bukan seorang yang datang dan mengeluh betapa untungnya rakyat Kelantan masih dapat memiliki rumah banglo dengan kos RM250,000 berbanding di negeri lain yang sudah mencecah RM400,000 hanya untuk rumah semi-D di kawasan yang sama tarafnya.

Barangkali untuk PRU-14 ini adalah penggal terakhir untuk Datuk Seri Mustapa Mohamed mencuba nasib menawan Kelantan. Selepas itu, berehatlah Datuk Seri. Orang baik seperti Datuk Seri tempatnya bukan di dalam Barisan Nasional yang penuh dengan rekod hitam menjahanamkan negara.

AHMAD FADHLI SHAARI
24 Julai 2017 – HARAKAHDAILY 24/7/2017

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.