Catatan Parlimen: Suara MP PAS berkenaan RUU Keganasan Rumah Tangga

1. PADA petang ini, Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 telah diluluskan setelah melalui proses Bacaan Kali Kedua dan Ketiga.
Tujuan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) ini dipinda adalah untuk:
(a) Mempertingkatkan perlindungan kepada mangsa dengan mengadakan peruntukan:
(i) Bagi perintah perlindungan kecemasan sebagai tambahan kepada perintah perlindungan interim dan perintah perlindungan sedia ada; dan
(ii) perluasan tafsiran keganasan rumah tangga untuk membolehkan mangsa mendapat perintah perlindungan interim dan perintah perlindungan
(b) Membantu memulihkan institusi kekeluargaan dengan mengadakan program pemulihan

Advertisement

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Rohani binti Abdul Karim, ketika membentangkan RUU ini ada menyatakan statistik Polis Diraja Malaysia, bermula pada tahun 2014 sehingga Disember 2016, sebanyak 15,617 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan. Daripada jumlah ini, sebanyak 74 peratus adalah mangsa wanita dan selebihnya 26 peratus adalah mangsa lelaki termasuk suami.

2. Seramai 3 orang Ahli Parlimen PAS iaitu YB Rantau Panjang, YB Bukit Gantang, dan YB Temerloh membahaskan RUU ini.
Para Ahli Parlimen PAS yang berbahas telah menyuarakan perspektif Islam dalam menyelesaikan masalah keganasan rumah tangga.

YB Rantau Panjang memohon penjelasan sejauh mana pindaan akta ini menjadi penyelesaian yang menyeluruh terhadap permasalahan yang ada dan memberi pembelaan terhadap terutama kepada kaum wanita khususnya.
Beliau berpandangan selain daripada undang-undang, penyelesaian dengan melalui pendidikan dan kefahaman turut perlu diutamakan.

3. YB Rantau Panjang turut menyatakan dalam Islam mengajar kita apabila berlaku pertembungan masalah kekeluargaan ini sepatutnya pihak ibu bapa sama ada pihak ibu bapa sendiri ataupun mertua seharusnya memainkan peranan untuk memastikan keluarga ini tidak terus menjadi mangsa keganasan.

Beliau turut menasihatkan kepada anak-anak muda yang berkahwin supaya membina rumah tangga dengan rasa “mawaddah warahmah”, rasa kasih sayang kerana Allah.
Itu sangat penting jangan jadikan kebiasaan menggunakan tangan ataupun penampar ataupun menggunakan aksi fizikal yang ganas untuk menyelesaikan apa-apa isu. Jadi dalam inilah perlunya pendidikan daripada rumah.

4. Beliau berpandangan pendidikan agama amat penting dan mengharapkan kerajaan boleh menyusun program-program pendidikan rumah tangga secara berkala selain daripada kursus praperkahwinan.
Sebagai contoh, program yang telah dibuat di Kelantan iaitu Hari Suami Isteri dapat dilaksanakan di peringkat negara untuk melahirkan rasa mawaddah kasih sayang di antara suami dan isteri.

5. YB Bukit Gantang pula dalam perbahasan beliau menyatakan antara punca berlakunya keganasan rumah tangga ialah sikap ego lelaki, bahana alkohol dan dadah, kurang pegangan agama, masalah ekonomi, berkahwin lebih tetapi tidak mampu, dan peranan pihak ketiga.

6. YB Temerloh pula menyatakan betapa pentingnya hak dan tanggungjawab dilaksanakan oleh pasangan suami isteri bagi mengelakkan keretakan institusi keluarga.
Antara punca utama keganasan rumah tangga ialah pengambilan alkohol dan dadah. Beliau mendesak agar Kerajaan mengawal ketat penjualan alkohol yang menjadi punca kepada segala kemungkaran. Pengedaran dadah yang masih berleluasa turut perlu diberi perhatian serius agar punca kepada masalah ini dapat diselesaikan, bukan sekadar meminda undang-undang sahaja.

Catatan oleh:
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
25 Julai 2017