Gamis ajak mahasiswa bantah kekejaman Israel

GABUNGAN Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mengajak semua mahasiswa dan seluruh rakyat Malaysia agar bersama menzahirkan rasa tidak puas hati kepada kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh Rejim Zionist terhadap Umat Islam Palestin.

Advertisement

“Mari melangkah bersama kami dengan hadir pada 27 Julai 2017, hari Khamis, jam 3.00 petang di Bangunan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur,” demikian menurut Naib Presiden 1 Gamis Muhammad Faizzuddin Mohd Zai.

Katanya, Gamis akan turut menyerahkan memorandum kepada Duta Amerika Syarikat di Malaysia sebagai tanda protes kerana sikap kebisuan kerajaan Amerika Syarikat dan kecaman ke atas tindakan melampau Zionist Israel kepada Umat Islam di Palestin Jumaat lalu.

Ujarnya kepada Harakahdaily, kebiadaban rejim Zionist Israel ini bukanlah perkara baru dan hakikatnya ia telah bermula sejak 100 tahun yang lalu melalui peristiwa Istikhrab Baitul-Maqdis di atas perjanjian Sykes-Picot 1916 dan Pengisytiharan Balfour 1917.

“Perkara yang sama akan berulang sekiranya tiada dalam kalangan kita yang berusaha melakukan sesuatu walaupun sedikit,” tambahnya.

Pada minggu yang lalu, dunia telah digemparkan dengan tindakan Zionist Israel yang menghalang rakyat Palestin daripada memasuki Masjid al Aqsa. Buat pertama kalinya berlaku dalam sejarah dunia, Masjid Al-Aqsa ditutup dan umat Islam khususnya dilarang untuk menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

Berikutan daripada tindakan biadab Zionist Israel tersebut, HAMAS serta saudara-saudara Islam di Palestin telah mengadakan himpunan aman pada hari Jumaat yang lalu dan apa yang menyedihkan ialah Zionist Israel telah melakukan tindakan di luar batasan dengan membunuh tiga orang rakyat Palestin dan mencederakan ratusan rakyat Palestin lain yang menyertai himpunan aman tersebut.

“Ayuh kita lakukan ini bersama, mahasiswa Malaysia tidak akan takut kepada sesiapa terutamanya Kerajaan Amerika Syarikat. Hanya Allah yang akan menjadi penghalang kepada langkah kita ini,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 25/7/2017