Maahad Tahfiz Selangor tumpu kurikulum utama

SEBANYAK 265 maahad tahfiz yang dibangunkan di Selangor menumpukan aspek kurikulum utama mengikut piawaian pendidikan ditetapkan di peringkat negeri dan Persekutuan.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, teras kurikulum yang diajar di maahad tahfiz negeri tidak bersandarkan prospek ajaran hafazan Al-Quran sahaja.

Katanya, kurikulum pendidikan baru dipelbagaikan bagi memberi nilai tambah kepada pelajar untuk lebih berdaya saing seiring pelajar di sekolah biasa.

“Jumlah pelajar tahfiz keseluruhan di Selangor adalah 15,504 orang murid dengan kurikulum diajar selain menghafaz Al-Quran seperti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Selain itu, Kurikulum Bersepadu Dini (KBD)(KPM), Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) (KPM) dan Kurikulum Agama Azhari di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari pada persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13 di Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, kerajaan negeri komited melaksana agenda pembangunan madrasah integrasi tahfiz dan maahad tahfiz seluruh negeri.

Ahmad Yunus berkata, tumpuan itu membabitkan keperluan penambahbaikan sistem pendidikan aliran agama dan kenaikan tangga gaji baru guru sekolah agama negeri.

“Ia dibuktikan menerusi penambahan jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2017 lalu termasuk peningkatan elaun sehingga RM1,500 kepada guru sekolah agama negeri.

“Kenaikan itu membabitkan peruntukan mencecah RM20 juta bergantung kepada tempoh perkhidmatan mereka,” katanya.