Tarbiah sentap

KALI pertama nama saya dipilih oleh PAS dan mendapat watikah menjadi calon di Selangor saya menolak ialah 19 tahun dulu. Saya tidak meroyan bila saya digantikan dengan orang lain.
Sebab: Saya menggabungkan diri dalam PAS kerana perjuangan Islamnya tanpa mengharapkan jawatan atau habuan. Paling menakutkan bila kita bertemu Allah, kita termasuk dalam kumpulan hadis berikut:  

Advertisement

إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ فَأُتِىَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ. قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لأَنْ يُقَالَ جَرِىءٌ. فَقَدْ قِيلَ. ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِىَ فِى النَّارِ

“Sesungguhnya manusia pertama yang diputuskan perkaranya pada hari kiamat adalah seorang laki-laki yang mati syahid. Dia dihadapkan, lalu Allah menunjukkan kenikmatan-kenikmatanNya kepadanya, maka dia pun mengenalnya. Allah bertanya, ‘Apa yang telah kamu lakukan padanya?’ Orang itu menjawab, ‘Aku berperang keranaMu sehingga aku mati syahid.’ Allah berfirman, ‘Kamu dusta, akan tetapi kamu berperang agar dikatakan ‘fulan pemberani; dan itu telah kamu dapatkan.’ Kemudian diperintahkan (agar dia diseret di atas wajahnya). Lalu dia pun diseret di atas wajahnya sampai dicampakkan ke dalam neraka.” (HR. Muslim)

Amal yang begitu berat, mengorbankan harta dan jiwa, tetapi masuk neraka. Dan kita kini tahu penyebabnya: tidak ikhlas, tidak mengharap redha Allah Subhanahu wa Ta’ala semata. Berjihad, tetapi niatnya ingin disebut sebagai pemberani, pahlawan.

Jom periksa hati kita. Jangan-jangan kita lebih buruk dari orang yang disebut dalam hadith Nabi tersebut. Beramal kerana riak,  ingin dipuji orang, mengharap tepukan tangan, hendakkan jawatan, bertujuan posisikan diri dalam jamaah, harapkan habuan peluang bertanding dalam PRU/PRK atau apa sahaja niat selain mencari redha Allah.

Jika amal seberat jihad dan pengorbanan nyawa sahaja menjadi sia-sia kerana riak, apatah lagi amal-amal kita yang tak sehebat jihad dan jauh dari risiko nyawa. Tanpa niat ikhlas, deritalah yang kita perolehi.

Peringatan untuk diriku…
Daku yang tidak serik…

Hashim Othman Al Maranji
Khadam Tarbiyah PAS
25 Julai 2017

Nota: Catatan selepas menjemur buku-buku tarbiyah yang kebasahan balik dari misi di Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah, di Kelantan.