Kelantan beri hak milik berkelompok

DAKWAAN penduduk di Kampung Peralla, Tanah Merah kebun getah milik mereka dijadikan tempat melombong emas turut mendapat perhatian kerajaan negeri.

Advertisement

Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, penduduk terlibat perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa tanah mengenai sebarang kegiatan di atas tanah mereka.

Katanya, kerajaan negeri akan memberi perhatian terhadap aduan tersebut bagi menjaga kebajikan rakyat.

“Cuma kita hendak tahu tanaman getah itu sama ada dalam kawasan yang diberi hak milik atau belum mendapat hak milik.

“Sebenarnya kita mengambil kira semua perkara sebelum sesuatu kelulusan melombong diberi,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program publisiti dan penyertaan awam, kajian semula rancangan struktur Kelantan 2024 hari ini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan kira-kira 100 penduduk mendakwa kebun getah milik mereka diceroboh pelombong emas sejak awal tahun ini.

Mereka juga dilapor meminta supaya kebun getah seluas lebih 600 ekar tidak dijadikan tapak perlombongan emas.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri sedang berusaha memberi hak milik tanah secara berkelompok pada skala agak besar kepada penduduk.

“Lebih 5,000 ekar akan diberi hak milik secara berkelompok yang diselia di bawah Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2017