Kelantan hargai harapan gerakan Islam

PAS Kelantan menghargai harapan gerakan Islam luar negara bagi menjadikan negeri tersebut sebagai benteng kekuatan Islam di rantau ini.

Advertisement

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, harapan mereka akan dihargai bagi membolehkan Islam terus subur di Kelantan.

“Sebab itulah pendokong PAS dan rakyat perlu bekerja keras bagi mempertahankan kemenangan sejak 1990.

“Malah wakil gerakan Islam dari luar negara juga melihat Kelantan sebagai model kerajaan berteraskan Islam di Malaysia,” katanya pada majlis Hari Raya Dun di Pasar Cabang Empat Tumpat, semalam.

Lebih 2,000 penduduk tempatan termasuk peniaga Pasar Cabang Empat Tok Mek Ngah hadir pada program itu.

Selain menjamu selera, kanak-kanak turut mendapat wang raya di samping cabutan nombor bertuah.

Pada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia yang diadakan pada 20 hingga 22 Julai lepas, wakil gerakan Islam termasuk dari Pakistan dan Indonesia berharap kerajaan Islam di Kelantan terus dipertahankan. – HARAKAHDAILY 26/7/2017