Ngapa cabar Khairy? Cabarlah Najib!

SEKONYONG-konyong Datuk Jamal Yunus yang banyak membuat gempar dalam politik semasa kita bersuara untuk mencabar Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan akan datang.
      
Apakah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu bersungguh atau bergurau? Hal-hal seperti ini tidak berapa boleh digurau. Terutama pada ketika UMNO berdepan dengan cabaran yang amat getir dalam sejarah.
      
Tidak semua wajar digurau. Kita ketahui talak tidak boleh digurau. Sama ada suami bergurau atau bersungguh mentalakkan isterinya, maka talak telah jatuh. Jika seorang wali bergurau menikahkan anaknya dengan seseorang dan orang itu mengaku menerimanya, baik berlakon atau tidak, ia sah.
      
Jamal ada menimbulkan kerusi Parlimen Sungai Besar dalam PRU14 sudah diperuntukkan calonnya. Demikian juga dengan Dun-Dun di kawasan itu semuanya dikatakan sudah dicalon dengan orang lain.
      
Maka dia sebagai Ketua Bahagian dikatakan tidak termasuk dalam senarai. Maka apa untuknya sebagai Ketua Bahagian?
      
Maka diapun hendak mencabar Khairy. Tiada sebab-sebab yang jelas mengapa dia hendak menggantikan Khairy. Dan Khairy sekarang adalah seorang yang popular di kalangan UMNO.
      
Memang di peringkat awal pemerintahan Datuk Najib, Khairy mungkin kerana dia menantu Tun Abdullah Badawi yang masa itu amat tidak disenangi oleh Dr Mahathir, maka dia dijauhkan dari sisi Najib termasuk lain-lain yang diketahui dekat dengan Tun Abdullah dulu.
     
Nasib Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO sama dengan nasib Datuk Zahid Hamidi, sebagai Ketua Pemuda, tidak diberi apa-apa oleh Perdana Menteri Mahathir.
      
Mungkin kerana Najib kian tidak popular termasuk di sisi Dr Mahathir, maka barulah Khairy dapat jadi menteri. Sekalian yang dirasakan orang Pak Lah seperti Mahdzir Khalid dan Reezal Merican pun dijadikan Menteri Pelajaran mengganti TS Muhyiddin dan Timbalan Menteri Luar.
      
Tun Abdullah pula dijadikan Pengerusi Petronas.
       
Khairy sekarang dirasakan amat akrab dan ngam dengan Najib. Begitu ramai menteri kanan, Najib jadikan dia pengapit kunjungan Presiden Obama ke sini. Dan semasa Najib mempromosikan program NT50 bagi menggantikan Wawasan 2020, maka Khairylah yang terserlah di depan mendekatkan Najib dengan publik.
      
Setakat ini tidak nampak Khairy banyak masalah. Dalam masa Najib yang amat tidak popular dalam dan di luar UMNO, bila orang hendak bercakap tentang pimpinan UMNO masa depan, orang nampak Khairy lebih popular dari yang lain-lain.
      
Ada suksiknya jika Zahid Hamidi dan Datuk Hishamuddin hendak dijadikan pengganti Najib, tetapi orang tidak nampak Khairy banyak masalah.
     
Tiba-tiba Jamal Yunus hendak cabar Khairy yang kurang masalah dibandingkan dengan Najib sendiri.
      
Masa ini segala yang buruk itu adalah dilonggokkan kepada Najib. Semuanya bercakap Najiblah yang patut digantikan jika UMNO hedak bercakap tentang masa depan. TS Muhyiddin Yassin yang terpinggir dari UMNO sekarang ialah banyaknya di kalangan UMNO yang mengharapkan Muhyiddin berbuat sesuatu bagi menyelamatkan UMNO dan kerajaan.
      
Tidak kisah apa nasib Muhyiddin tetapi ia adalah potret Najib yang bermasalah.
      
Pada saat begini jika Jamal hendak membela dan menyelamatkan UMNO, ketika orang tidak berani berkata apa-apa tentang Najib, maka Jamal mesti beranikan diri cabar Najib. Jika Khairy dapat dikalahkan, dan Najib masih Presiden UMNO, Jamal akan jadi pak angguk juga.
       
Tiada sebab Khairy yang dicabar melainnya atas anjuran orang iri hati kepadanya. Yang orang hendak ubah ialah Najib. Najiblah yang Jamal mesti cabar! – HARAKAHDAILY 26/7/2017

Advertisement