RUU Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017: Ucapan MP Temerloh

TERIMA kasih kepada Tuan Yang Dipertua kerana memberikan keizinan kepada saya untuk turut sama mengambil bahagian bagi membahaskan pindaan Akta Keganasan Rumah Tangga. Perkara yang paling penting sebelum saya pergi lanjut perbincangan mengenai isu ini, sebagai mukadimahnya ialah untuk kita melihat bahawa institusi rumah tangga ini adalah suatu institusi yang mempunyai banyak kelebihan dalam Islam sehingga orang-orang yang berkeupayaan ataupun berkemampuan dan juga berkeinginan untuk mendirikan rumah tangga ini sangat dituntut supaya segera melaksanakannya. Sebagaimana dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Nabi SAW bersabda, maksudnya barang siapa yang berkemampuan untuk berkahwin, maka hendaklah ia melakukannya atau dia segera berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan menundukkan pandangan, memelihara kemaluan dan barang siapa yang tidak mampu untuk melakukannya, maka hendaklah dia berpuasa. Dengan itu ia akan melindungi dirinya daripada terjebak melakukan perkara yang mungkar. Itu yang pertama.

Advertisement

nasrudinKedua Tuan Yang Dipertua, antara kelebihan yang diperoleh daripada pembentukan institusi rumah tangga ini juga ialah soal kasih sayang, ketenangan, rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT di samping ianya mengikut sunah para Rasul AS. Daripada itu juga ia akan diberikan pertolongan daripada Allah, pahala yang dilipat ganda dan menyempurnakan sebahagian daripada agamanya dan dikurniakan kebaikan untuk dunia dan juga di akhirat dan juga menyejukkan matanya apabila melihat pasangannya yang soleh dan juga solehah.

Ini Allah sebut dalam Al-Quran antaranya daripada surah Ar-Rum, antara maksudnya, sebahagian daripada tanda keagungan Allah SWT itu dijadikan bagi kamu daripada diri kamu ataupun jiwa kamu itu hidup berpasangan dengan pasangan kamu itu menyebabkan kamu dapat tiga perkara iaitu yang pertama sakinah- ketenangan; yang kedua, mawaddah- kasih sayang; rahmah- kasih belas, dan ini adalah merupakan tanda keagungan Allah SWT bagi mereka yang berfikir. Baik, atas dua kelebihan ini ataupun kelebihan yang dijanjikan oleh Allah dan juga Nabi SAW yang saya bacakan sebentar tadi jelas menunjukkan kepada kita peri pentingnya membangunkan institusi kekeluargaan dan keluarga ini pula hanya boleh dibentuk melalui sebuah perkahwinan.

Persoalan yang saya hendak bangkitkan di sini ialah dalam masyarakat kita tentu sahaja individu-individu manusia itu adalah merupakan asas yang sangat penting dalam pembentukan sebuah masyarakat. Namun, perlu kita berikan perhatian bahawa individu-individu ini pula nantinya dia akan terbentuk daripada acuan rumah tangga yang dibina ataupun keluarga yang dibina, oleh itu jika sekiranya baiklah sebuah rumah tangga, sebuah keluarga maka baiklah individu yang dihasilkan dalam sesebuah masyarakat tersebut.

Oleh kerana itu untuk menjamin perkara ini Islam telah menggariskan beberapa panduan. Antaranya yang berkait dengan akta yang sedang kita bincangkan dan kita bahaskan pada hari ini ialah berkait dengan soal mensyariatkan hak dan juga tanggungjawab suami isteri, ibu bapa dan juga anak-anak dalam mengendalikan rumah tangga mereka.

Hak dan tanggungjawab ini adalah untuk memastikan bagi setiap pihak dapat melaksanakan peranan masing-masing dalam membentuk institusi keluarga yang bahagia dan saling berkasih sayang antara satu sama lain. Jika sekiranya hak dan tanggungjawab ini dilanggar dan diabaikan maka ia menjadi suatu tanda bahawa sebuah keluarga itu sedang mengalami keretakan ataupun konflik pergolakan dan akhirnya dia akan berakhir dengan penderaan terhadap isteri, anak-anak mahupun mungkin ke atas suami dan akhirnya berlakulah perceraian yang merosakkan dan memusnahkan sebuah rumah tangga tersebut.

Tuan Yang Dipertua, bagi mengatasi masalah keganasan rumah tangga ini saya berpandangan bahawa tidak memadai kita hanya melihat kepada apa yang sedang berlaku dalam rumah tangga itu sahaja, dalam skop dinding rumah mereka itu sahaja tetapi perlu kita lihat secara menyeluruh dengan jujurnya. Di sana ada beberapa faktor yang boleh membawa kepada berlakunya keganasan rumah tangga ini. Antara yang saya lihat dan banyak berlaku dalam masyarakat kita hasil daripada laporan-laporan keganasan rumah tangga ini ialah soal pengambilan dadah dan juga alkohol.

Selain daripada latar belakang keluarga dan juga pasangan keluarga, masalah sosial, masalah emosi yang tidak terkawal, soal panas baran, cemburu dan lainnya yang saya lihat besarnya ialah soal pengambilan dadah dan juga alkohol.

Tuan Yang Dipertua, individu yang mengambil alkohol ini terutamanya mengambil secara berlebihan ini memang mempunyai kecenderungan untuk berlaku agresif dan akhirnya berpotensi besar untuk melakukan penderaan ke atas pasangan hidup mereka dan banyak kes penderaan terhadap golongan wanita ataupun isteri dalam negara kita ini berpunca daripada akibat pengambilan alkohol yang berlebihan dan juga pengambilan dadah yang tidak terkawal. Ini dilaporkan dan diakui oleh Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur yang mana apabila mereka menyebut tentang laporan perceraian, penderaan, keganasan rumah tangga maka inilah antara faktor yang paling besar.

Justeru itu saya melihat pengawalan ketat ke atas minuman beralkohol ini mestilah terlebih dahulu dilakukan oleh pihak kerajaan. Sebelum kita pergi kepada penyelesaian keganasan rumah tangga, perkara ini yang menjadi punca kepada keganasan itu berlaku mesti diambil tindakan yang lebih serius dan juga berkesan oleh pihak kerajaan.

Bagi pihak Muslim tentunyalah alkohol ini diharamkan sementara mana-mana pihak yang agamanya membenarkan mereka mengambil minuman beralkohol ini maka pastikan dihadkan kadar pengambilannya dan juga premis-premis alkohol ini mestilah dihadkan ataupun mungkin dibenarkan secara tertutup. Oleh sebab kita melihat kesannya adalah terlalu meluas dan ini diakui sendiri oleh Nabi kita Muhammad SAW bermaksud, jauhilah oleh mu akan minuman yang memabukkan ini ataupun arak kerana ini adalah ibu kepada segala kemungkaran, kemaksiatan, segala kekejian dan juga segala kerosakan, termasuk dalam perkara yang memabukkan ini selain daripada arak yang menghilangkan akal ini juga ialah sebagaimana saya sebut tadi dadah. Saya lihat dadah dalam negara kita juga masih juga berleluasa dan beberapa kali sudah sebelum daripada ini kita bincang di Dewan yang mulia ini untuk bagaimana kerajaan mesti lebih melipat ganda usaha menangani gejala dadah yang berleluasa dalam negara kita.

Oleh sebab apabila dadah ini berleluasa dan mudah diambil ia bukan sahaja memberi kesan kepada penagihnya tetapi ia akan merebak kepada orang yang berada di sekitar keluarganya, anaknya, isterinya mungkin ibu bapanya dan banyak kes yang berlaku dalam negara kita keganasan yang bermula dengan yang berakibat daripada dadah ini. Bunuh ibu bapa sendiri, bunuh anak sendiri, bukan setakat dera bukan setakat pukul sampai peringkat jenayah bunuh kerana mereka telah hilang akal, hilang kewarasan akibat daripada pengaruh dadah ini.

Jadi inilah punca yang perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan saya kira kerana akta yang kita bincang ini kalau sekadar untuk kita menggubal bagi menghukum pesalah maka ia tidak akan dapat menyelesaikan selama-lamanya apabila puncanya kita tidak tangani. Oleh sebab punca inilah yang akan terus berlarutan sehinggalah ianya akan membawa kepada kemusnahan yang lebih luas dan juga kebinasaan yang lebih melata dalam negara kita.

Tuan Yang di-Pertua, perkara yang kedua saya juga melihat kepada keganasan ini bermula daripada pengalaman yang dialami oleh seseorang yang mungkin dialami waktu sebelum mereka mendirikan rumah tangga mungkin kerana ada faktor waktu kecil mereka, waktu remaja mereka yang mempengaruhi sikap mereka. Suami yang sering menganiaya isteri sebagai contoh yang bertindak ganas ke atas ahli keluarganya mungkin mereka telah dahulunya mengalami sejarah silam penderaan yang dialami ke atas dirinya sendiri. Baik dan juga individu yang macam ini saya kira dia memerlukan satu rawatan dan juga pemulihan psikologi yang rapi dan berpanjangan oleh pihak yang berwajib supaya dapat ditangani individu-individu yang sebegini. Kalau tidak nanti dia akan membawa penderitaan dan kesengsaraan kepada ahli keluarganya.

Secara holistiknya saya lihat penyelesaiannya itu tidak terhenti setakat rawatan secara klinikal tetapi apa yang paling penting ialah rawatan secara spiritual kerana perkara-perkara yang seperti ini saya setuju dengan rakan-rakan yang lain banyak menyebut bahawa agama juga menjadi aspek yang penting yang perlu dilihat untuk menyelesaikan masalah soal manusia yang tergamak untuk melakukan keganasan dan penderaan ini. Saya lihat sebagai contoh di kawasan-kawasan yang padat penduduk di rumah flat dan juga di tengah-tengah ibu kota sebagai contoh.

Ada kawasan-kawasan perumahan dan taman-taman itu yang tidak mempunyai environment yang baik untuk mereka menjiwai agama dan juga mendekatkan diri mereka kepada Tuhan, seperti kawasan itu tidak ada surau pun, tidak ada musala pun untuk mereka menunaikan solat jemaah sebagai contoh, bertemu dengan masyarakat kerana orang yang seperti ini, dia biasanya ialah orang yang mempunyai satu penyakit menyendiri, tidak suka bergaul dengan orang ramai. Kemudian dia tidak boleh dikontrol, tidak boleh dibangkang pendapat dia dan akhirnya faktor-faktor kejiwaan ini sebenarnya menyebabkan dia tidak tenang, hidupnya serabut, hidupnya kecamuk. Perkara yang paling baik untuk merawat orang yang macam ini ialah saya kira kembalikan mereka kepada agama supaya mereka dapat tunaikan solat berjemaah. Kemudian mereka bersama dengan anggota-anggota masyarakat yang lain.

Selain daripada faktor kejiranan yang lebih mesra dapat dibentuk, mereka juga nantinya akan lebih tenang dan daripada ketenangan jiwa itulah mereka dapat menangani dan memimpin rumah tangga dengan baik. Sebab kalau kita lihat dalam konsep azan sebagai contoh, sewaktu kita laungkan untuk memanggil orang mendirikan sembahyang jemaah…[Melaungkan azan] “Marilah kita sembahyang” dan, “Marilah menuju kejayaan” dan kemenangan. Kejayaan dan kemenangan yang dimaksudkan di sini ialah bukan saja dalam bentuk akhirat semata-mata tetapi juga berjaya untuk hidup di dunia, sejahtera, damai, harmoni, tenang menjalani kehidupan di dunia.

Inilah sebenarnya yang perlu dilihat sama oleh pihak kerajaan saya kira untuk kita sama-sama menangani keganasan rumah tangga yang sedang berleluasa pada hari ini. Penderaan-penderaan yang sebegini boleh kita tangani jika sekiranya semua pihak mengambil langkah untuk mengatasinya. Bukan saja saya hendak bebankan kepada kerajaan 100 peratus tetapi pihak keluarga, pihak masyarakat, pihak agensi-agensi berkuasa yang lain turut sama mengambil bidang ataupun ruang keupayaan yang ada pada mereka untuk menangani kes ini. Cuma secara pihak berkuasa ataupun pihak yang bertanggungjawab, kerajaan mestilah melihat perkara ini secara lebih serius supaya ianya dapat ditangani dengan baik.

Jadi inilah dua perkara yang saya hendak sampaikan. Mudah-mudahan ianya dapat memberikan manfaat kepada kita semua.

Ucapan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan semasa membahaskan Rang Undang-undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat pada 25 Julai 2017.