Tunku, Tun Razak pun tunggu tulisan Subky

SubkyLatif

PENULIS veteran yang juga kolumnis Harakah, Subky Latif merupakan penulis yang wajar dijadikan contoh oleh penulis-penulis generasi muda kerana beliau seorang karyawan yang sentiasa segar dengan idea-idea bernas, menulis dengan penuh tanggungjawab serta dengan jiwanya sendiri dan profesional.

Advertisement

Naib Presiden PAS, Dato’ Nik Mohd Amar Abdullah berkata, bukti kehebatan Subky antara lainnya apabila tulisannya turut ditunggu-tunggu oleh orang ramai termasuk pemimpin-pemimpin negara sendiri, terutama Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Menurutnya, secara peribadi, beliau sendiri amat berminat dengan tulisan-tulisan Subky sehingga sering tertunggu-tunggu tulisan penulis veteran itu sejak dulu hingga kini kerana corak penulisannya yang tersendiri yang dipersembahkan dengan penuh keikhlasan dan penuh dengan isi yang cukup berguna.  
 
Katanya, begitulah hebatnya profesionalisme dan begitulah hasilnya apabila seseorang itu mempunyai kesungguhan, komitmen yang tinggi, melakukan sesuatu kerja dengan penuh tanggangungjawab dan ikhlas dalam melakukan pekerjaannya yang tentunya menepati minatnya sendiri.

“Ini samalah juga seperti filem-filem Melayu yang dilakonkan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang terus diminati oleh orang ramai sehingga kini termasuk di kalangan generasi muda.

“Malah banyak di antara dialog-dialog dalam filem P Ramlee turut dihafaz oleh kanak-kanak sekarang. Contohnya, ‘Walaupun rupamu tidak kukenal, tetapi lobang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku’, di samping beberapa dialog lain lagi,” katanya dalam pertemuannya bersama kakitangan Harakah di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Harakah berkata, punca kehebatan Subky dan filem-filem Melayu dulu terutama filem-filem P Ramlee kerana individu-individu terbabit bukan bekerja untuk mengejar kekayaan, tetapi bekerja dengan penuh tanggungjawab, profesional, ikhlas dan dengan jiwanya sendiri.

“Begitu juga dengan penulis hebat Indonesia, Pramoedya Ananta Toer yang menghasilkan begitu banyak tulisannya yang cukup menarik dan diminati ramai. Walaupun begitu, beliau tidak kaya, sebaliknya agak miskin kerana beliau tidak mengejar keduniaan, tetapi beliau menulis dengan jiwanya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh karyawan Harakah supaya sentiasa bersungguh-sungguh, bertanggungjawab dan ikhlas dalam bekerja, sejajar dengan kedudukan Harakah sendiri yang bukannya sebagai media propaganda seperti media-media lain, tetapi penyebar maklumat dan berita-berita yang betul dan tepat.

“Harakah adalah akhbar parti yang sekaligus sebagai media dakwah. Ini bererti apabila kita bekerja dengan Harakah atau dengan PAS bermakna kita bekerja untuk parti Islam dan untuk Islam.

“Jadi kakitangan Harakah tentunya amat beruntung kerana selain bekerja walaupun dengan gaji yang tidak tinggi, tetapi dalam masa yang sama turut menjadi daie (pendakwah) yang menyebarkan mesej-mesej Islam kepada orang ramai,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan kakitangan Harakah, jika ada rasa tidak puas hati, agar tidak menyebar rasa tidak puas hati masing-masing menerusi saluran yang tidak betul termasuk melalui media baru seperti Facebook, Twiter dan WhatsApp.

“Tindakan seperti itu tidak akan memberikan kesan baik seperti yang diharapkan, sebaliknya akan mendatangkan kesan buruk kepada diri sendiri, organisasi sendiri dan parti. Jadi jika tidak puas hati, nyatakan mengikut saluran yang betul dengan menyatakan kepada Pengarah Urusan.

“Jika tidak puas hati juga boleh menyatakan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah sendiri. Hal melibatkan organisasi mesti diselesaikan di dalam organisasi, bukannya dibawa keluar. Samalah juga jika hal rumah tangga mestilah diselesaikan di dalam rumah tangga, bukannya disebarkan di media sosial,” ujar beliau.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Harakah, Profesor Madya Zainal Abidin Kidam, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan. – HARAKAHDAILY 26/7/2017

JumpaTMB 1

JumpaTMB 2

JumpaTMB 3