Badan pemikir yang tidak berfikir?

WAN Saiful IDEAS berkata, matlamat utama PAS bukanlah memenangi kerusi. Untuk makluman Wan Saiful, PAS ada banyak matlamat sebenarnya dan salah satunya adalah kuasa.

Advertisement

PAS dambakan kuasa untuk tegakkan Islam, tetapi PAS tidak menjual dasar dan prinsip Islamnya untuk dapatkan kuasa. Yang ini Wan Saiful perlu betul-betul memahaminya. Islam tidak membenarkan kita untuk menggunakan politik Machiavelli @ matlamat menghalalkan cara untuk dapatkan kuasa. Apabila menggunakan cara haram untuk dapatkan kuasa, PAS yakin Allah akan timpakan perkara yang tidak baik kepada rakyat dan negara selepas berkuasa. Tidak ambil pengajarankah kita daripada kesemua kisah yang difirmankan dalam al-Quran?

Bukankah politik jahat ini juga boleh mengheret sama rakyat ke dalam lembah kebinasaan di kemudian hari walaupun Umno/BN sudah tidak lagi berkuasa di negara ini?

Mahukah Wan Saiful menyusahkan rakyat selepas berkuasa hasil dari langkah politik haram? Sebab itu, soal halal haram bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main ketika mengejar kuasa.

Izinkan saya untuk bertanya kepada saudara Wan Saiful, bila masa pulakah kemenangan bukan salah satu dari matlamat PAS? PAS memang nak menang. Kita sangat-sangat dahagakan kemenangan.Tapi kita tak minum arak untuk hilangkan dahaga hanya semata-mata nak cepat menang. Itu gopoh namanya. Dan kegopohan adalah langkah permulaan kepada kekalahan dan kehancuran kepada rakyat dan negara yang saya amati sedang diburu golongan tertentu yang seolah-olah sudah gila kerana gilakan kuasa.

Ketika membaca kenyataan Wan Saiful pagi tadi yang juga CEO IDEAS yang diberi gelaran oleh FMT, kononnya sebagai ‘badan pemikir’ di negara ini, tidak fikirkah beliau sehingga begitu mudah merumuskan bahawa PAS adalah peserta ke-3 yang kononnya cuba menganggu gugat rancangan 2 penjuru PH dan Umno? lebih-lebih lagi dalam keadaan seluruh Rakyat di negara ini amat memahami bahawa PAKATAN HARAPAN masih belum lagi diluluskan pendaftarannya.

Manakala PAS pula sudah diluluskan pendaftaranya lebih 60 tahun yang lalu dan merupakan peserta veteran dan terawal dalam pertembungan dua penjurunya dengan Umno semenjak merdeka lagi.

Matematik mudah sebenarnya tetapi gagal dihitung ‘badan pemikir’ itu. Tertanya-tanya juga saya, adakah IDEAS ini ‘badan pemikir’ atau ‘badan yang tidak berfikir’?

Tidak terfikirkah ‘badan pemikir’ itu bahawa PAKATAN HARAPAN bukanlah entiti sah dari aspek undang-undang buat masa ini untuk bersama-sama dalam pertembungan demokrasi pilihan raya dua penjuru yang sedia ada? Bukankah kehadiran peserta baru PAKATAN HARAPAN inilah yang akan menjadi tongkat kepada survival Umno apabila berjaya memecahkan undi yang sudah sedia ada dimiliki PAS? Insya-Allah jika diluluskan pendaftarannya nanti, merekalah peserta Ke-3 yang IDEAS maksudkan sedang cuba menganggu gugat pertembungan dua penjuru yang sedia ada.

Seperkara lagi yang IDEAS perlu fahami adalah sejarah kedudukan PAS yang kini sudah bersama GAGASAN SEJAHTERA dan tidak lagi bersama-sama PKR dan DAP dalam PAKATAN RAKYAT, yang terbukti tiada satupun dorongan daripada Umno dalam soal kedudukan PAS pada hari ini.

1.Bukankah DAP yang secara terbuka menyerang PAS dan pemimpinnya termasuk mencampuri hal ehwal dalaman PAS?
2.Bukan PAS yang isytihar PAKATAN RAKYAT(PR) sudah terbubar. DAP lah orangnya.
3.Pengakuan daripada Kak Wan sendiri selaku Presiden PKR bahawa DAP bertindak gopoh untuk membubarkan PAKATAN RAKYAT.
4.Pengakuan segelintir pemimpin PAKATAN HARAPAN bahawa PAN berperanan untuk gantikan PAS dalam gabungan parti politik yang baru itu. Kalau mahu PAN berperanan untuk gantikan PAS, kenapa perlu PAS bersama PAKATAN HARAPAN? Adakah PAS yang bersalah kerana tidak mahu bersama PAKATAN HARAPAN selepas peranan PAN diwar-warkan seperti itu dalam PAKATAN HARAPAN?.
5.Sikap PKR dan DAP sendiri yang jelas melanggari perjanjian Tahaluf Siyasi dengan PAS sehingga memaksa PAS untuk memutuskan segala hubungan kerjasama politik yang sedia ada.

Dengan semua bukti dan hujah di atas, dimanakah strategi Umno dalam soal ini untuk memastikan PAS kekal sebagai entiti yang berasingan dari PAKATAN HARAPAN?

Kepada Wan Saiful dan IDEAS, jadilah ‘badan pemikir’ yang betul-betul berfikir untuk kebaikan Rakyat dari fakta yang ada, bukan dari andaian atau syak wasangka semata-mata.

Takutlah kepada Allah yang melihat. Sedarilah bahawa pahala dan dosa kamu dan saya sedang dicatat malaikat setiap saat sehingga kita semua dipanggil kembali untuk diadili dihadapannya.

Akhir kata, saya ingin mengambil peluang ini untuk melahirkan keraguan saya terhadap rumusan wartawan daripada FMT bahawa Wan Saiful Wan Jan dari IDEAS adalah ahli PAS. Betulkah bahawa anda adalah ahli PAS? bilamana laporan beberapa media sebelum ini pernah mendedahkan beberapa kenyataan terbuka anda terhadap PAS dan pemimpinnya yang tidak menggambarkan bahawa anda adalah sebenarnya ahli PAS, antaranya ialah:

1. Astro Awani (Sept 2014) – “Tahniah, Hadi Awang berjaya melahirkan muktamar paling buang masa dalam sejarah terdekat. Sikit lagi jadi MIC…Hadi gagal mengekalkan PAS sebagai parti yang serius menjadi alternatif. Seorang Presiden yang gagal menggariskan wawasan untuk parti tetapi perangai beliau membawa PAS kepada apa yang dilihat sekarang. Gagal.Lemah.Lembik.”
2. The Star Online – May 2017 (What Yusof Rawa Did to PAS) – “It would not be wrong to say that Hadi was the first to introduce a slightly softened version of the takfiri approach – Hadi adalah orang yang pertama memperkenalkan pendekatan takfiri versi sedikit lembut”…”Hadi radicalism helped spread the thinking that PAS is ISLAM and ISLAM is PAS…Radikalisme Hadi yang bantu menyebarkan pemikiran bahawa PAS adalah ISLAM dan ISLAM adalah PAS”.
3. The Edge Markets – Okt 2014 (Hadi the Stumbling Block to Pakatan Putrajaya Ambitions) – “Hadi is the President of PAS and his childish behavior has not only jeopardized his credibility but the party as well…Hadi adalah Presiden PAS dan sikap keanak-anakkannya bukan sahaja menjejaskan kredibilitinya tetapi partinya juga”

Adakah anda ahli PAN yang masih memegang kad ahli PAS? Sahaja bertanya. – HARAKAHDAILY 27/7/2017